Pioneer Heat meterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pioneer Heat meterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Menerusi perjanjian taja jamin berkenaan, Malacca Securities akan menaja jamin sebanyak 27.75 juta saham terbitan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Pioneer Heat Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd sebagai persediaan untuk penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Langkah itu adalah perkembangan penting buat Pioneer Heat yang menyasarkan untuk memperkukuh kapasiti operasi, memperluaskan kehadiran serantau serta menyokong pertumbuhan jangka panjang menerusi akses kepada pasaran modal.

 

Pioneer Heat mempunyai rekod pengalaman kira-kira 29 tahun sejak mula beroperasi pada 1997 dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal kepada pelbagai sektor industri termasuk minyak dan gas, petrokimia, utiliti serta pembuatan.

 

Perkhidmatan utama kumpulan itu merangkumi kejuruteraan sistem perpaipan, perkhidmatan rawatan haba serta perkhidmatan ujian tanpa musnah (NDT), selain menjalankan kerja kejuruteraan awam berkaitan pembinaan kemudahan industri.

 

Pelan IPO Perkukuh Kedudukan Perniagaan

Berdasarkan draf prospektus di laman web Bursa Securities, IPO Pioneer Heat melibatkan terbitan awam sebanyak 86.70 juta saham biasa baharu serta tawaran jualan sebanyak 17.345 juta saham biasa sedia ada.

 

Daripada jumlah saham baharu itu, sebanyak 17.345 juta saham atau kira-kira 5% daripada modal saham terbitan selepas IPO akan ditawarkan kepada pelabur awam Malaysia.

 

Selain itu, sebanyak 10.407 juta saham baharu atau kira-kira 3% akan diperuntukkan kepada individu yang layak termasuk pengarah, pekerja serta pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan tersebut.

 

Sebanyak 58.948 juta saham baharu pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 17.345 juta saham sedia ada akan ditawarkan melalui tawaran jualan kepada pelabur sama.

 

Malacca Securities Jamin Sebahagian Saham IPO

Menerusi perjanjian taja jamin berkenaan, Malacca Securities akan menaja jamin sebanyak 27.75 juta saham terbitan yang terdiri daripada saham untuk permohonan awam Malaysia dan individu yang layak.

 

Baki sebanyak 76.293 juta saham IPO yang merangkumi 58.948 juta saham baharu serta 17.345 juta saham tawaran jualan akan ditawarkan kepada pelabur terpilih menerusi kaedah penempatan persendirian.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pioneer Heat, Wong Wei Ken berkata, penyenaraian itu akan membolehkan kumpulan memperkukuh asas operasi serta meningkatkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan dalam sektor industri utama.

 

Beliau berkata, Pioneer Heat telah membina kepakaran dalam menyokong keseluruhan kitaran hayat loji perindustrian bermula daripada pembinaan loji baharu, penyelenggaraan, pemulihan berjadual sehingga kerja pengubahsuaian.

 

Dana IPO Sokong Pengembangan Operasi

Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn Bhd, Lim Chia Wei pula berkata, pihaknya berbesar hati menyokong langkah Pioneer Heat ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurutnya, pengalaman operasi, keupayaan teknikal serta rancangan pengembangan yang dimiliki Pioneer Heat meletakkan syarikat itu pada kedudukan baik untuk mengukuhkan kehadiran dalam industri kejuruteraan mekanikal.

 

Hasil daripada IPO tersebut akan digunakan untuk beberapa tujuan utama termasuk pembinaan ibu pejabat di Sendayan, pejabat baharu di Sarawak, pembelian jentera dan peralatan, modal kerja serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Ibu pejabat baharu di Sendayan merangkumi pejabat pentadbiran, gudang dan bengkel yang akan menyokong operasi kumpulan di wilayah Tengah, termasuk kerja fabrikasi paip dan struktur paip, ujian hidro, rawatan haba serta servis injap.

 

Selain itu, pejabat Sarawak pula akan membantu pengembangan Pioneer Heat di Malaysia Timur dengan menyediakan kemudahan tambahan untuk aktiviti fabrikasi, penyimpanan bahan, jentera, peralatan serta pembangunan perkhidmatan baharu di Malaysia Timur. - DagangNews.com