Petros tidak tahu menahu pun ada cubaan bocor maklumat sulit PETRONAS kepadanya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petros tidak tahu menahu pun ada cubaan bocor maklumat sulit PETRONAS kepadanya

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jun - Petroleum Sarawak Bhd (Petros) menegaskan pihaknya tidak mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan cubaan membocorkan maklumat sulit PETRONAS kepada syarikat minyak milik kerajaan negeri Sarawak itu.

 

“Petros sama sekali tidak mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan cubaan pendedahan maklumat tersebut.

 

“Kami menggesa orang ramai dan pihak media supaya berhati-hati serta mengelakkan daripada menerbitkan atau menyebarkan sebarang kenyataan atau tohmahan berunsur fitnah terhadap Petros atau pegawai-pegawainya yang timbul daripada perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kenyataan itu sebagai mengulas perbincangan awam susulan daripada perbicaraan di Mahkamah Sesyen ke atas bekas pegawai PETRONAS, Mohd Khairul Akmal Jasni.

 

Mohd Khairul didakwa cuba membocorkan dokumen sulit milik PETRONAS kepada dua pegawai kanan Petros pada 8 Jun 2024.

 

Dalam prosiding pada 25 Jun 2026, saksi pertama pendakwaan yang juga bekas Pengurus Kanan Perhubungan Perusahaan PETRONAS, Jumsuri Basri, memberitahu mahkamah Jabatan Cyber Security PETRONAS mengesahkan seorang bekas pengurus di Petronas telah mendedahkan maklumat berkaitan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Petros pada 8 Jun 2024.

 

Mengulas lanjut, Petros berkata syarikat itu mengambil maklum mengenai laporan media berhubung prosiding mahkamah tersebut dan menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung.

 

Katanya, syarikat tidak akan campur tangan dalam prosiding mahkamah dan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi pekerja serta kepentingan syarikat.

 

Pendedahan dalam perbicaraan itu sekaligus membangkitkan isu pertikaian antara PETRONAS dan Petros berhubung bidang kuasa terhadap aset minyak dan gas di Sarawak masih berlarutan.

 

Pertikaian tersebut kini sedang didengar di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu berkaitan penyeliaan dan pengawalseliaan aset minyak dan gas di negeri itu. - DagangNews.com