KUALA LUMPUR 31 Julai - Perisytiharan Bersama Petronas dan Petros yang ditandatangani pada 21 Mei 2025 berperanan sebagai asas kepada pembentukan kerangka bersama antara kedua-dua entiti tersebut, Parlimen dimaklumkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen.
Menerusi pengisytiharan tersebut, Petronas akan terus melaksanakan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, termasuk aktiviti sektor huluan sehingga kepada penjualan gas asli cecair (LNG) ke pasaran antarabangsa.
Selain itu, Petros telah dilantik oleh kerajaan negeri Sarawak sebagai pengagregat gas bagi pasaran domestik negeri tersebut, berkuat kuasa 1 Mac 2025.
Pelantikan ini akan dihormati oleh semua pemain industri yang terlibat dalam pengagihan dan bekalan gas kepada pengguna domestik.
“Sebarang perjanjian dan pengaturan sedia ada antara Petronas dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG (dari sektor huluan ke eksport LNG) tidak terjejas dan akan terus berkuat kuasa,” katanya.
Azalina menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai status terkini kuasa bertindih antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) di Sarawak.

Sementara itu, Azalina memaklumkan bahawa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menubuhkan Majlis Peralihan serta Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan bagi menyelaras penempatan semula kakitangan secara adil dan tersusun susulan penstrukturan semula organisasi syarikat tersebut.
Menurut beliau, kakitangan yang terkesan akan menerima pakej pemisahan yang kompetitif serta sokongan menyeluruh menerusi program peralihan.
Sokongan tersebut merangkumi panduan kerjaya, bantuan emosi, latihan kemahiran semula (upskilling), perancangan kewangan dan bantuan penempatan kerja, dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta inisiatif keusahawanan Petronas.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi transformasi Petronas untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing dalam menghadapi era peralihan tenaga.
“Ia dirancang secara strategik supaya tidak menjejaskan sumbangan Petronas kepada hasil negara atau kesinambungan dasar pembangunan negara,” katanya.
Azalina menjawab pertanyaan daripada Sabri Azit (PN-Jerai) berkenaan tindakan kerajaan terhadap keputusan Petronas mengurangkan lebih 5,000 tenaga kerja susulan penstrukturan syarikat serta kesannya terhadap sumbangan kepada pendapatan negara. - DagangNews.com








