KUALA LUMPUR 22 Okt – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), melalui anak syarikatnya PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), telah menjalinkan kerjasama dengan OQ Exploration and Production New Ventures LLC (OQEP) bagi meneroka peluang penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di rantau Asia Barat dan Asia Tenggara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan PETRONAS memberitahu PETRONAS Carigali memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan OQEP, anak syarikat milik penuh OQ Exploration and Production SAOG, di ibu pejabat OQEP di Muscat, Oman, semalam.
Menurut kenyataan itu, MoU tersebut menyediakan rangka kerja kerjasama yang memanfaatkan kepakaran huluan antarabangsa PETRONAS serta pengetahuan serantau OQEP, dengan matlamat membuka peluang pertumbuhan baharu dan mempercepat penciptaan nilai di pasaran yang pelbagai.
Naib Presiden Huluan (Aset Antarabangsa) PETRONAS, Mohd Redhani Abdul Rahman, berkata kerjasama ini merupakan langkah bermakna dalam usaha syarikat untuk membina portfolio huluan yang berdaya tahan dan berdaya saing.
“Dengan menyelaraskan kekuatan kami bersama arah strategik OQEP, kami berada pada kedudukan yang baik untuk meneroka usaha sama yang berimpak tinggi di rantau-rantau ini,” katanya.
Petronas turut memaklumkan syarikat telah aktif di Oman sejak tahun 2018 dan kini memegang kepentingan penyertaan dalam Blok 61.
“MoU ini mengukuhkan lagi hubungan yang semakin berkembang antara PETRONAS dan OQEP, yang berteraskan rasa hormat dan matlamat industri yang dikongsi bersama,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com








