KUALA LUMPUR 17 Jun - PETRONAS menerusi PETRONAS LNG Ltd memeterai perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Commonwealth LNG, sekali gus mengukuhkan lagi portfolio bekalan globalnya.
Di bawah perjanjian tersebut, PETRONAS akan memperoleh satu juta tan setahun (mtpa) LNG daripada fasiliti Commonwealth LNG berkapasiti 9.5 mtpa yang kini sedang dibangunkan di Cameron, Louisiana.
PETRONAS berkata, perjanjian itu merupakan langkah strategik bagi mendapatkan bekalan LNG jangka panjang dari AS sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan dan kepelbagaian di peringkat global.
Majlis pertukaran dokumen telah diadakan di Energy Asia 2025 antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS LNG, Ezran Mahadzir dan Presiden merangkap CEO Commonwealth LNG, Farhad Ahrabi.
Hadir sama Naib Presiden Eksekutif dan CEO Perniagaan Gas & Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli, serta Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Kumpulan PETRONAS, Shamsairi M Ibrahim.
Shamsairi berkata, perjanjian tersebut menegaskan komitmen PETRONAS dalam menyediakan bekalan LNG yang boleh dipercayai dan mampan kepada pelanggan di seluruh dunia.
“Perjanjian ini menekankan komitmen PETRONAS untuk memupuk kerjasama global yang memastikan bekalan LNG yang boleh dipercayai, mampan dan jangka panjang untuk pelanggan kami.
"Kerjasama dengan Commonwealth LNG akan memperluaskan rangkaian bekalan dan mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran LNG global,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama itu dijangka dapat meningkatkan kerjasama tenaga strategik, menyokong keselamatan tenaga serantau serta mengukuhkan peranan Commonwealth LNG sebagai pemain yang dipercayai dalam landskap LNG global.
Fasiliti Commonwealth LNG dijangka memulakan operasi pada penghujung dekad ini.- DagangNews.com








