KUALA LUMPUR 14 Sept - PETRONAS Lubricants International (PLI) menjelaskan inisiatif melibatkan Juventus Football Club yang dilaporkan baru-baru ini, bukan berbentuk tajaan ke atas kelab Itali berkenaan.
Menurut syarikat itu, langkah tersebut merupakan usaha pemasaran yang dipimpin oleh PETRONAS Lubricants Italy dalam rangka memperkukuh jenama di pasaran Eropah melalui pendekatan lebih dekat dengan pelanggan dan pengedar.
“Penyertaan kami memberi akses ke kawasan terpilih dalam Allianz Stadium yang digunakan sebagai platform strategik untuk aktiviti pemasaran serta promosi produk PLI.
"Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami memperkukuh kehadiran jenama di Eropah,” jelas PLI dalam kenyataan pada Ahad.
PLI menegaskan fokus syarikat kekal terhadap penyampaian nilai melalui kerjasama strategik yang menyokong pertumbuhan serta kemajuan jangka panjang.

Mengenai PETRONAS Lubricants International
PETRONAS Lubricants International (PLI) ialah cabang global pembuatan dan pemasaran pelincir bagi PETRONAS, kumpulan tenaga dinamik Malaysia. Ditubuhkan pada 2008, PLI mengeluarkan dan memasarkan pelbagai produk pelincir automotif serta industri berkualiti tinggi di lebih 100 pasaran antarabangsa.
Beribu pejabat di Kuala Lumpur, PLI mempunyai pejabat di Turin, Belo Horizonte, Beijing dan Chicago.
PLI juga merupakan sumber teknikal utama di sebalik kerjasama PETRONAS bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One, termasuk dalam reka bentuk, pembangunan serta penyampaian Fluid Technology Solutions™ yang merangkumi pelincir, bahan api dan bendalir transmisi khusus bagi jentera lumba Silver Arrows. - DagangNews.com








