PETRONAS Gas mengesahkan di Bursa Malaysia berdepan tuntutan RM68 juta susulan kebakaran paip gas Putra Heights | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Gas mengesahkan di Bursa Malaysia berdepan tuntutan RM68 juta susulan kebakaran paip gas Putra Heights

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Okt – PETRONAS Gas Bhd (PetGas) mengesahkan kini berdepan tuntutan saman berkelompok berjumlah RM68 juta melibatkan ganti rugi khas, susulan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada April lalu yang memusnahkan kediaman dan mencederakan penduduk setempat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PetGas memberitahu tuntutan tersebut difailkan oleh 36 penduduk daripada komuniti perumahan Taman Putra Harmoni, Topaz dan Citrine, yang turut mewakili 73 ahli keluarga lain di bawah prosiding wakil mengikut Kaedah 15 Peraturan 12, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

 

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan serta kos guaman, di samping apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

 

“Tuntutan ini tidak dijangka memberi kesan kewangan atau operasi yang material kepada syarikat, tertakluk kepada keputusan mahkamah dan maklumat semasa,” kata PetGas.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Letupan Gas Putra Heights: Penduduk saman Petronas Gas, Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia

 

PetGas turut memaklumkan firma guaman telah dilantik bagi mewakili syarikat dalam prosiding tersebut.

 

Selain PetGas, turut dinamakan sebagai defendan ialah Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Kerajaan Malaysia.

 

Plaintif mendakwa PetGas bertindak cuai serta melanggar tanggungjawab menjaga keselamatan operasi, termasuk kegagalan mengambil langkah sewajarnya dalam aspek perlindungan, pemantauan dan penyelenggaraan paip gas.

 

Tuntutan juga difailkan atas asas gangguan persendirian (private nuisance) dan tanggungjawab di bawah doktrin Rylands v Fletcher, selain pelanggaran terhadap Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1985.

 

Insiden pada April lalu itu menyaksikan letupan besar akibat paip gas bawah tanah yang pecah berhampiran Jalan Putra Harmoni, yang membawa kepada kebakaran melibatkan lebih 500 rumah dan ratusan kenderaan.

 

Lebih 150 penduduk cedera, manakala 400 keluarga kehilangan tempat tinggal akibat kejadian tersebut.

 

Siasatan pihak berkuasa mengenal pasti keadaan tanah yang tidak stabil sebagai punca utama kerosakan struktur paip gas yang membawa kepada letupan tersebut. - DagangNews.com