Petronas Gas Berhad teliti impak kewangan dan operasi akibat letupan gas di Putra Heights | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas Gas Berhad teliti impak kewangan dan operasi akibat letupan gas di Putra Heights

Siasatan punca letupan gas dijangka siap Mei 2025 - Gambar hiasan
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 7 April - Petronas Gas Bhd sedang menilai impak kewangan dan operasi insiden gas meletuo di Putra Heights di Puchong, Selangor, serta bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan kejadian itu.

 

Dalam makluman terbaharu di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menentukan punca kejadian dan faktor penyebab, dengan siasatan dijangka selesai pada Mei 2025.

 

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan, syarikat sedang menilai langkah pemulihan yang berpotensi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan penyambungan semula operasi yang selamat dan cekap di kawasan itu.

 

 

"Keutamaan utama syarikat semasa kami pulih daripada insiden ini adalah memastikan keselamatan orang ramai, membantu mereka yang terjejas dan memelihara keselamatan bekalan gas.

 

"Syarikat tetap komited untuk menyelesaikan perkara ini dengan keutamaan tertinggi dan akan terus menyediakan kemas kini dan pengumuman seterusnya apabila keadaan berubah," tambahnya.

 

Insiden letupan gas di Putra Heights telah menyebabkan gangguan bekalan gas kepada empat stesen janakuasa utama yang berada di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa (SJ) Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya.

 

Terdahulu, dalam satu kenyataan Suruhanjaya Tenaga menyatakan ia bersama beberapa entiti operasi terlibat dalam pembekalan gas dan elektrik termasuk Grid System Operator, Single Buyer, Gas Malaysia Berhad, Penjana bebas, Petronas dan TNB Fuel Sdn. Bhd. sedang memantau secara terperinci situasi pembekalan elektrik dan gas di Semenanjung Malaysia.

 

"Antaranya menilai kesan gangguan bekalan gas, langkah-langkah mitigasi dan pelan interim, dengan mengambil kira pelbagai senario sehingga keadaan pulih," kata suruhanjaya itu.

 

Situasi Bekalan Gas Bekalan gas di Semenanjung Malaysia terganggu di beberapa kawasan di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta di beberapa kawasan di zon utara. - DagangNews.com