KUALA LUMPUR 9 Mei — Petronas Gas Berhad bekerjasama dengan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Sabah untuk membangunkan sebuah loji janakuasa 120MW di Labuan.
Ia berkata, anak syarikat milik penuhnya, PG Energia Sdn Bhd memeterai satu perjanjian dengan Sustainable Power Sdn Bhd (SPSB) dan SEC Power Sdn Bhd untuk projek tersebut.
Kedua-dua GLC tersebut iaitu, SPSB merupakan unit milik penuh Sabah Electricity Sdn Bhd, manakala SEC Power ialah unit milik penuh Sabah Energy Corporation Sdn Bhd.
"Sasaran tarikh untuk loji ini beroperasi secara komersial ditetapkan selewat-lewatnya pada 1 Januari 2028," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
PG Energia akan menjadi pemegang saham majoriti projek usaha sama tersebut dengan 60 peratus kepentingan, manakala SPSB dan SEC Power masing-masing memegang 20 peratus.
Menurut Petronas Gas, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi surat pemberitahuan yang bertarikh 21 Februari 2025 meluluskan pembangunan loji janakuasa itu.
Ketiga-tiga syarikat itu bertanggungjawab ke atas reka bentuk, pembinaan, pemasangan, ujian, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan loji serta kemudahan berkaitan.
"Syarikat usaha sama yang dibentuk itu dinamakan Rancha Power Sdn Bhd manakala projek ini dibiayai melalui gabungan dana jana dalaman dan pembiayaan luaran," katanya. - DagangNews.com








