KUALA LUMPUR 24 Dis - PETRONAS Gas Bhd memeterai perjanjian sekali sahaja bagi membuat prabayaran yuran jeti di terminal gas asli cecair (LNG) Pengerang bernilai sehingga AS$173.64 juta (RM705.67 juta) bagi tempoh 18 tahun, sebagai langkah strategik untuk mengurangkan pendedahan kepada turun naik mata wang asing.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata anak syarikatnya, Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (PLNG2), telah menandatangani perjanjian dengan Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB) untuk prabayaran caj tetap tahunan di bawah Perjanjian Penggunaan Jeti (JUA) 2017.
Perjanjian tersebut melibatkan penyelesaian sebahagian caj tetap tahunan bagi baki tempoh perkhidmatan JUA, iaitu dari 1 Januari 2026 hingga 2 Mac 2044, atau tarikh lain yang dipersetujui bersama.
Jumlah prabayaran itu mewakili nilai kontrak baki bagi obligasi PLNG2 di bawah perjanjian berkenaan.
PT2SB merupakan syarikat usaha sama antara unit milik penuh PETRONAS, PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd, Dialog Equity (Two) Sdn Bhd, Vopak Terminal Pengerang BV serta Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd.
Menurut PETRONAS Gas, kemudahan jeti di terminal LNG Pengerang akan terus digunakan oleh PLNG2 sehingga tamat tempoh kontrak, manakala aspek operasi di bawah JUA kekal tidak terjejas.
Langkah prabayaran ini dibuat ketika ringgit mencatat pengukuhan ketara, apabila mata wang tempatan itu meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS pada 4.0645.
Dari segi prestasi pasaran, saham PETRONAS Gas ditutup 10 sen lebih rendah pada RM18 pada Selasa, menjadikan permodalan pasaran syarikat itu berjumlah kira-kira RM35.6 bilion. - DagangNews.com








