KUALA LUMPUR 18 Jun - PETRONAS memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Korea Gas Corporation (KOGAS) bagi mengukuhkan kerjasama jangka panjang serta mempercepatkan pembangunan rumusan tenaga bersih.
PETRONAS berkata, kerjasama itu mengesahkan komitmennya sebagai pembekal gas asli cecair (LNG) jangka panjang kepada KOGAS, selain meluaskan kerjasama ke bidang seperti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pembangunan hidrogen.
Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Shamsairi Mohd Ibrahim berkata, perjanjian itu menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam hubungan erat antara kedua-dua syarikat sejak 1991.
"Kerjasama berterusan dengan KOGAS mencerminkan komitmen bersama dalam memacu rumusan tenaga yang inovatif dan lestari. Ia adalah langkah signifikan ke arah masa depan tenaga rendah karbon," katanya dalam kenyataan hari ini.
PETRONAS menantikan peluang untuk memacu kemajuan merentasi rantaian nilai tenaga bersama KOGAS, dengan memanfaatkan kepakaran bersama bagi membekalkan tenaga yang lebih bersih dan boleh dipercayai ke pasaran global dalam usaha membentuk masa depan rendah karbon.
Naib Presiden Kanan Bahagian Hidrogen dan Perniagaan Baharu KOGAS, Oh Kwon Taek berkata, perjanjian itu akan membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan masing-masing yang saling melengkapi.
“Kami yakin kerjasama ini bukan sahaja akan menyokong pertumbuhan kedua-dua organisasi, malah turut menyumbang kepada peralihan global ke arah tenaga yang lebih bersih,” katanya. - DagangNews.com








