KUALA LUMPUR 23 Mei — Petronas Dagangan Berhad mencatatkan peningkatan 29.8 peratus dalam keuntungan bersih bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2025 kepada RM293.50 juta berbanding RM226.04 juta pada 1QFY24.
Kumpulan tersebut berkata, pertambahan berkenaan didorong jualan bahan api penerbangan dan diesel Jet A1 yang lebih tinggi daripada segmen komersial yang turut mengimbangi penurunan keuntungan dalam segmen runcit.
Katanya lagi, segmen runcit sebaliknya merekodkan kejatuhan kira-kira tiga peratus kepada sebanyak RM191.5 juta berikutan permintaan yang didapati lebih rendah untuk produk minyak diesel dan petrol motor.
"Sementara segmen komersial pula adalah 50 peratus tinggi kepada sebanyak RM178.3 juta yang dijana jualan Jet AI dan diesel serta perbelanjaan lebih rendah," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Selain itu tambah Petronas Dagangan, keuntungan daripada segmen kemudahan kumpulan tersebut, yang diterajui oleh kedai runcit serbaneka Mesra dan aplikasi Setel, juga meningkat 40 peratus pada 1QFY25.
Bagaimanapun katanya, hasil merosot kira-kira 3.2 peratus kepada RM9.09 bilion berbanding sebanyak RM9.39 bilion, disebabkan oleh faktor purata harga jualan yang lebih rendah dan pengurangan volum jualan.
Petronas Dagangan, turut mengumumkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham melibatkan sejumlah RM198.69 juta, meningkat daripada 18 sen sesaham tahun lepas dengan pembayaran pada 21 Jun 2025.
Kumpulan itu yang 63.94 peratus dipegang Petroliam Nasional Berhad, bagaimanapun masih berhati-hati mengenai potensi risiko global tetapi menjangkakan pertumbuhan stabil, hasil daripada ekonomi yang kukuh dan pengurusan kos.
Ia juga akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan yang baik dan kekal berdaya saing untuk lebih positif pada tempoh jangka panjang. - DagangNews.com








