KUALA LUMPUR 22 April - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatat penurunan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) berkurang kepada RM3.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, kebanyakan disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih rendah.
Keuntungan bersihnya turun kepada RM1.175 bilion pada FYK2024 daripada RM1.696 bilion pada tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, pada tahun 2024, PCG menghadapi persekitaran operasi yang mencabar tetapi Syarikat tetap teguh dan lincah, mengekalkan keuntungan serta menyampaikan nilai untuk pemegang saham.
"PCG mencatatkan rekod hasil tertinggi sebanyak RM30.7 bilion berbanding RM28.67 bilion tahun lalu, dipacu oleh peningkatan jualan merentas semua segmen, penambahbaikan harga produk, serta sumbangan dari operasi petrokimia di Pengerang, Johor.
"Kebingkasan ini membolehkan pelaburan berterusan dalam pelbagai projek pembangunan serta membuahkan nisbah pulangan dividen tertinggi pada tahap 88.5 peratus," kata beliau dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-27 di sini hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Pengerusi PCG, Datuk Sazali Hamzah, bersama ahli Lembaga Pengarah, serta Ketua Pegawai Kewangan PCG, Mohd Azli Ishak.
Beliau berkata, PCG terus beroperasi di persada global yang kian tidak menentu, bersama tekanan perdagangan yang semakin meruncing serta pasaran tidak stabil yang berterusan.
"Walaupun kita dapat lihat ada sedikit penambahbaikan harga komoditi dan pemulihan permintaan kimia khusus yang sederhana, semasa sepanjang suku pertama 2025, kami tetap berwaspada dalam prospek masa depan.
"Sebagai tindak balas, kami menyasarkan kecemerlangan operasi dan komersial; bertumpukan keselamatan, pengoptimuman kos, serta kebolehpercayaan aset untuk mengukuhkan kebingkasan kami.”
“Pada masa yang sama, kami akan terus mengekalkan disiplin kewangan yang ketat serta perbelanjaan modal berhemat.
"Strategi pembangunan kami bertumpukan pembinaan saluran projek yang kukuh sebagai respon terhadap dinamik industri yang berubah ansur disamping memanfaatkan rangkaian inovatif global kami untuk menghasilkan penyelesaian terkini.
"Melalui pelbagai usaha ini, PCG kekal teguh dalam mencipta nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan serta terus bersaing dalam persekitaran yang semakin mencabar,” kata Mazuin.
Menurut beliau, PCG mencapai prestasi operasi yang baik melalui kadar penggunaan loji setinggi 91 peratus pada 2024, melangkaui tanda aras dunia pada 90 peratus.
Selain itu, Kumpulan juga mencapai jumlah pengeluaran tertinggi pada 11.2 juta tan setahun dengan peningkatan dari segmen kimia khusus.
Dari segi komersial, PCG mencatat rekod jualan sebanyak 10.4 juta tan metrik pada 2024, iaitu peningkatan setinggi 27 peratus sejak lima tahun lalu.
Perkembangan ini menekankan kedudukan pasarannya yang kukuh serta komitmen kecemerlangan komersil, yang boleh dilihat daripada kadar Kebolehpercayaan Pemenuhan Pesanan dalam segmen Komoditi setinggi 95 peratus, menjangkaui paras industri pada 90 peratus.
Menjana pertumbuhan kekal menjadi keutamaan kami pada 2024. Salah satu pencapaian besar segmen Olefin dan Derivatif ialah dengan bermulanya operasi Pengerang Petrochemicals Company di Johor – iaitu projek pembangunan tebesar PCG dengan kerjasama Aramco – untuk menghasilkan polimer dan glikol yang digunakan dalam pelbagai barangan harian.
Selain itu, loji Isononanol di Pengerang telah menghasilkan produk menurut spesifikasi yang betul serta dijadualkan untuk beroperasi sepenuhnya pada 2025. PCG turut menambah rantaian nilai segmen Baja dan Metanol dengan siapnya loji Melamina di Gurun, Kedah.
Loji ini akan menawarkan kepelbagaian produk, peluang-peluang bernilai tinggi, serta meletakkan PCG sebagai satu-satunya pengeluar melamina di Asia Tenggara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan import di rantau ini.
PCG turut mencatatkan lonjakan kemajuan melalui beberapa kerjasama strategik. Operasi komersil syarikat usaha sama dengan PCC SE di Kertih, Terengganu telah mula mengeluarkan Etoksilat Khusus dan Polieter Poliol bagi sektor-sektor berkembang pesat seperti automotif dan penjagaan diri.
Di Gebeng, Pahang, Syarikat meningkatkan kapasiti asid 2-etilheksanoik (2-EH) sebanyak dua kali ganda untuk menyokong permintaan pelincir sintetik serta bahan tambah minyak yang semakin meningkat.
Secara keseluruhannya, projek-projek ini dijangka akan menambah pengeluaran PCG kira-kira 1.8 juta tan setahun, mengukuhkan lagi komitmennya dalam penciptaan nilai serta pengembangan industri hiliran. - DagangNews.com







