KUALA LUMPUR 20 Mei — Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM7.7 bilion pada tempoh 1QFY25, dipacu oleh harga purata yang lebih tinggi.
Kumpulan itu berkata, ia melibatkan urea, metanol dan polietilena serta sumbangan prestasi jualan yang lebih baik dalam segmen kimia khusus dengan peningkatan tiga peratus suku-ke-suku (q-o-q).
Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) melonjak 26 peratus kepada RM892 juta, disokong penyebaran produk lebih baik antaranya urea, metanol dan derivatif olefin.
"Kos operasi juga lebih rendah manakala prestasi operasi kekal kukuh dengan kadar penggunaan loji sebanyak 94 peratus pada suku tersebut, hampir setara pada 4QFY24," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, keuntungan bersih menurun kepada RM18 juta berbanding RM539 juta pada suku sebelumn itu, sebahagian besar disebabkan oleh pergerakan kadar pertukaran asing yang tidak menguntungkan.
Sepanjang suku ini, segmen Olefin dan Derivatif (O&D) berjaya mengatasi gangguan bekalan utiliti yang menjejaskan beberapa loji di Kertih, serta Pengerang Petrochemicals Company Sdn Bhd (PPC).
Gabungan isu luaran ini katanya, dan kenaikan harga produk terhad ketika berlaku lebihan bekalan industri, menyebabkan pendapatan sukuan bahagian O&D menurun 4 peratus kepada RM3.5 bilion.
"Bahagian ini mencatatkan Kerugian Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (LBITDA) sebanyak RM43 juta, terutama disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada PPC," kata PCG.
Segmen Baja dan Metanol (F&M) kumpulan itu bagaimanapun mencatatkan peningkatan keseluruhan dalam jumlah jualan dan pendapatan, dengan disokong oleh faktor harga purata produk yang lebih kukuh.
PCG menambah, bekalan global yang terhad serta permintaan bermusim adalah kukuh sepanjang suku tersebut turut mendorong kenaikan harga sekitar 13 peratus bagi urea dan 5 peratus bagi metanol.
Bahagian F&M merekodkan pendapatan sukuan lebih tinggi sebanyak RM2.5 bilion, manakala EBITDA meningkat 22 peratus q-o-q kepada RM892 juta dijana daripada penyebaran produk yang lebih baik.
"Segmen kimia khusus pula mencatatkan peningkatan jualan merentas semua kategori produk, dengan peningkatan ketara melalui produk Oxo berikutan aktiviti pengisian semula stok pasaran," katanya.
Walaupun harga jualan purata lebih rendah kata PCG, pendapatan bahagian ini meningkat 19 peratus kepada RM1.6 bilion berbanding suku sebelumnya, disokong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi.
Kumpulan tersebut menambah, EBITDA turut meningkat kepada sebanyak RM52 juta, dengan dipacu oleh faktor margin sumbangan yang didapati lebih kukuh dan daripada peningkatan jumlah jualan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, ketahanan kumpulan itu dalam mengharungi keadaan pasaran yang mencabar membuktikan kekuatan kepelbagaian portfolio.
"Peningkatan EBITDA mencerminkan usaha berterusan kami mencapai kecemerlangan operasi dengan kadar penggunaan loji yang baik, walaupun ada gangguan pada Januari 2025 menjejaskan sementara waktu di Kertih,” katanya.
Berhubung implikasi tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap PCG, beliau berkata, pihaknya memantau situasi dengan teliti dan menilai kesan yang lebih luas terhadap keseluruhan pergerakan pasaran.
“Bagi mengekalkan ketahanan dan daya saing dalam kemerosotan industri semasa, kami terus menumpukan untuk memacu kecemerlangan.
"Komitmen kami terhadap keselamatan dan kecekapan operasi semua fasiliti kami akan diteruskan dengan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di beberapa loji O&D serta F&M.
"Pada masa sama, kami tetap memperkukuhkan hubungan pelanggan untuk memenuhi segala keperluan mereka yang semakin berkembang," kata Mazuin. - DagangNews.com








