Petron raih untung bersih RM246 juta pada 2025, melonjak tinggi berbanding RM18 juta pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petron raih untung bersih RM246 juta pada 2025, melonjak tinggi berbanding RM18 juta pada 2024

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Feb - Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) menamatkan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan keuntungan bersih sebanyak RM246 juta, melonjak ketara berbanding RM18 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

 

Prestasi lebih kukuh itu didorong terutamanya oleh hasil pengeluaran yang lebih baik di Loji Penapisan Port Dickson susulan pengoptimuman proses dan kadar penggunaan loji yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan syarikat memanfaatkan kos pengeluaran dan pembekalan yang lebih rendah.

 

Jumlah jualan tahunan meningkat kepada 36.2 juta tong berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, pendapatan susut 15% kepada RM13.4 bilion berikutan harga pasaran yang lebih rendah.

 

Penanda aras Dated Brent merosot 15% atau AS$12 setong kepada purata AS$69 setong, dipengaruhi peningkatan bekalan global dan permintaan yang lemah dalam persekitaran ketegangan geopolitik berterusan.

 

Walaupun pendapatan menurun, keuntungan kasar meningkat lebih dua kali ganda kepada RM571 juta berbanding RM274 juta pada 2024. Syarikat turut mencatat pendapatan operasi sebanyak RM350 juta, melonjak daripada RM60 juta sebelumnya.

 

Prestasi suku keempat pulih

Bagi suku keempat 2025, harga purata minyak mentah Dated Brent menurun 15% kepada AS$64 setong berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, susulan peningkatan bekalan minyak global dengan kenaikan pengeluaran OPEC+ yang mengatasi permintaan, selain kesan ekonomi daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat.

 

PMRMB menjual 8.6 juta tong pada suku terakhir, meningkat 10% tahun ke tahun, sekali gus mengimbangi kesan penurunan harga untuk mengekalkan hasil pendapatan sebanyak RM3.1 bilion.

 

Keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada RM106 juta berbanding kerugian kasar RM17 juta pada 2024. Syarikat turut mencatat keuntungan bersih RM44 juta, berbanding kerugian bersih RM70 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Insiden jeti, impak minimum kepada kewangan 2025

Pada 28 November 2025, jeti produk di Loji Penapisan Port Dickson runtuh akibat Ribut Tropika Senyar. Susulan itu, syarikat mengisytiharkan force majeure dan mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan bagi memastikan bekalan produk terkawal seperti petrol, diesel dan Gasul LPG ke stesen minyak serta pelanggan industri kekal terjamin.

 

Kerja pembersihan sisa runtuhan di dasar laut sedang dijalankan, manakala syarikat dalam proses mendapatkan bidaan daripada firma kejuruteraan untuk membina jeti gantian di lokasi sama sebaik kerja pembersihan selesai.

 

Memandangkan insiden berlaku pada penghujung tahun kewangan, impaknya terhadap prestasi kewangan 2025 adalah minimum.

 

Pengerusi PMRMB, Ramon S. Ang berkata, syarikat berjaya mencatat prestasi cemerlang pada 2025 hasil kecekapan operasi, penambahbaikan proses dan pengurusan risiko yang berhemat dalam pasaran minyak yang tidak menentu.

 

“Kami terus menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan dan landskap kawal selia yang sentiasa berubah, termasuk program BUDI95, sambil memperluaskan rangkaian runcit bagi memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik.

 

"Pada masa sama, kami memberi fokus kepada pembinaan semula jeti produk bagi membolehkan Loji Penapisan Port Dickson beroperasi semula sepenuhnya,” katanya. - DagangNews.com