Peruntukan RM1 bilion sudah dilulus untuk rancakkan produktiviti padi di Kedah - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peruntukan RM1 bilion sudah dilulus untuk rancakkan produktiviti padi di Kedah - PM

PUTRAJAYA 22 April (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi merancakkan produktiviti padi di Kedah.

 

"Kita bagi RM1 bilion dan ia adalah berterusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah semalam berhubung tuntutan bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padinya.

 

Peruntukan itu sebelum ini diumum oleh Anwar dalam Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Okt tahun lepas bagi membangunkan infrastruktur untuk menyokong projek penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun secara berfasa di Kawasan Muda, Kedah yang dilancarkan beliau pada 27 Feb lepas.

 

Ia merupakan sebahagian daripada peruntukan RM5.376 bilion yang diumumkan Perdana Menteri bagi meningkatkan produktiviti padi negara secara keseluruhan.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memperkukuh struktur perkhidmatan awam agar kekal mampan, responsif dan sejajar dengan keperluan semasa negara.

 

Menurutnya,  perkara itu dibangkitkan beliau sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025, pagi ini.

 

“Susulan kejayaan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 1 dan melalui proses libat urus yang berterusan, pelbagai cadangan inisiatif dasar baharu perkhidmatan awam telah dibincangkan.

 

“Ini termasuk mengenai mobiliti dan portabiliti penjawat awam, demi memastikan mereka lebih berdaya saing di masa hadapan,” kata beliau menerusi catatan di Facebook.

 

Perdana Menteri berkata beliau percaya bahawa pembaharuan itu harus dilaksanakan secara teliti dan inklusif, dengan mengutamakan kepentingan rakyat, kebajikan penjawat awam serta kemampuan fiskal negara.

 

SSPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa pada 1 Dis 2024 mengutamakan prestasi perkhidmatan awam dan mendahulukan kebajikan penjawat awam.

 

Ia dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi, selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan.

 

Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Dis 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.

 

Sementara itu, Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2. - BERNAMA