KUALA LUMPUR 22 Okt - Peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta untuk menghidupkan semula ladang getah swasta terbiar dan RM60 juta untuk pengeluaran susu getah menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) merupakan langkah penting bagi menyokong pertumbuhan serta kemampanan industri sarung tangan getah.
Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Oon Kim Hung berkata, inisiatif itu ditetapkan untuk mengukuhkan pengeluaran lateks, memastikan bekalan bahan mentah yang lebih stabil dan boleh dipercayai untuk pengeluar sarung tangan getah.
"Secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 adalah langkah positif dan progresif untuk industri dan negara.
"Peruntukan RM1 bilion untuk pembiayaan teknologi hijau menyerlahkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan dan perlindungan alam sekitar - bidang utama yang sedang giat dimajukan oleh pemain industri kami," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui Risda akan melaksanakan program promosi pengeluaran susu getah untuk pekebun kecil melalui geran padanan berjumlah RM60 juta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu bertujuan menggalakkan pekebun kecil getah mengeluarkan getah lateks.
Beliau berkata, ladang getah milik persendirian yang terbengkalai akan dihidupkan semula dengan peruntukan RM20 juta.
Sementara tu, Kim Hung berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, daripada RM1,500, berkuat kuasa 1 Februari 2025, akan memberi manfaat kepada kedua-dua pekerja dan ekonomi.
"Kami menyokong penuh inisiatif ini dan komited untuk memacu produktiviti sambil memastikan struktur gaji yang adil dan saksama untuk semua,” katanya.- DagangNews.com








