KUALA LUMPUR 17 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan, pengawalan inflasi sahaja tidak memadai untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup, sebaliknya memerlukan perubahan struktur bagi menangani masalah pertumbuhan gaji yang perlahan.
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar berkata, walaupun kadar inflasi menurun hasil tindakan monetari yang tepat, harga barang masih kekal tinggi dan kuasa beli isi rumah terus merosot berikutan kenaikan gaji yang sederhana.
"Dari awal 2020 hingga awal 2025, harga barang naik hampir 10% dan harga makanan naik lebih tinggi iaitu 17.5%.
"Dalam tempoh sama, gaji pekerja swasta cuma naik 7.9%. Ini bermakna gaji sebenar turun 1.9%, jadi rakyat rasa semakin tertekan dengan kos sara hidup," katanya seperti laporan Bernama.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel bertajuk 'Mengurus Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Polisi' dalam Simposium Sasana 2025 anjuran BNM, hari ini.
Marzunisham berkata, walaupun secara teori gaji sepatutnya seiring dengan tahap produktiviti, data dari awal 2022 hingga pertengahan 2025 menunjukkan sebaliknya.
Tambah beliau, dalam tempoh itu, produktiviti naik 7.4 %, tetapi gaji sebenar pekerja tetap menurun.
"Ini menunjukkan ada ketidakseimbangan antara produktiviti dan kenaikan gaji di peringkat individu," jelasnya.
Beliau menjelaskan, negara perlu memberi tumpuan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu menarik pelaburan berkualiti untuk mencapai matlamat tersebut.
"Malaysia mencatat jumlah kelulusan pelaburan yang baik pada 2023 dan 2024. Kini, pekerjaan berkemahiran tinggi meningkat kepada kira-kira 30%, berbanding 25% beberapa tahun lalu," katanya.
Namun, beliau mengakui masih wujud jurang antara bilangan graduan dan peluang kerja berkemahiran tinggi.
"Antara 2022 dan 2023, sebanyak 260,000 graduan baharu memasuki pasaran kerja, tetapi hanya kira-kira 150,000 kerja berkemahiran tinggi diwujudkan setiap tahun.
"Jadi, hampir 100,000 graduan berisiko bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, lebih 36% graduan kini bekerja dalam pekerjaan berkemahiran sederhana atau rendah kerana kekurangan peluang yang sesuai.
Beliau juga menekankan kepentingan meningkatkan kualiti latihan kemahiran dan memastikan kemahiran graduan selari dengan keperluan majikan.
Katanya, banyak majikan masih sukar mencari pekerja yang mempunyai kemahiran yang sesuai.
Marzunisham turut mencadangkan agar kadar gaji minimum ditetapkan mengikut tahap kemahiran, seperti yang dilakukan di beberapa negara lain.
"Majikan, pekerja dan kerajaan perlu bekerjasama dalam menentukan kadar gaji yang sesuai dan bukan hanya bergantung kepada kuasa pasaran," katanya. - DagangNews.com








