KUALA LUMPUR 13 Nov – Keyfield International Berhad menjelaskan permintaan yang lebih rendah dalam pasaran kapal sokongan luar pesisir (OSV) tempatan menjejaskan prestasi pendapatan dan keuntungan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q2025).
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, keadaan itu menyebabkan jumlah hari sewaan kapal yang lebih rendah bagi kapal milik sendiri dan kapal pihak ketiga, selain kadar hasil harian purata yang menurun.
"Aktiviti luar pesisir oleh kontraktor perjanjian petroleum (PAC) yang lebih perlahan, ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas tempatan serta kelembapan harga minyak mentah dunia turut menjejaskan permintaan tersebut.
"Kadar hasil harian purata kapal penginapan (AWB) Kumpulan menurun tahun ke tahun, sejajar dengan aktiviti luar pesisir yang lebih suram berbanding tempoh sama tahun sebelumnya apabila pasaran lebih rancak," kata syarikat itu ketika mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit 3Q2025.
Bagaimanapun, bagi memberi pulangan kepada pemegang saham, Keyfield mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.0 sen sesaham, bersamaan 39% daripada keuntungan PATAMI 3Q2025.
Ini menjadikan jumlah dividen terkumpul bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 6.0 sen sesaham, mewakili 37% daripada PATAMI tahun semasa.
Kadar penggunaan bagi 3Q2025 ialah 81.4% (3Q2024: 99.2%), manakala bagi tempoh tahun semasa (YTD 2025) sebanyak 67.5% berbanding 88.4% pada tempoh sama tahun lalu.
Keyfield, faktor lain yang menyumbang kepada penurunan ialah kadar penggunaan lebih rendah bagi sembilan bulan pertama 2025, disebabkan lebih banyak hari penyelenggaraan pada separuh pertama tahun apabila Kumpulan menjalankan pemeriksaan khas (dry-docking) bagi empat kapal, manakala dua lagi sedang disiapkan untuk operasi.
Semua kerja penyelenggaraan tersebut kini telah selesai.
Keyfield menegaskan strategi mengurangkan kebergantungan terhadap industri minyak dan gas tempatan terus dilaksanakan bagi memastikan kelestarian keuntungan jangka panjang.
Katanya, kumpulan kini mengembangkan operasi ke rantau lain seperti Timur Tengah, dan menjangkakan lebih banyak kapal akan dihantar ke luar Malaysia pada masa depan.
Dalam masa sama, penjualan kapal oleh pemain industri lain dijangka mengurangkan penawaran AWB dalam pasaran tempatan, sekali gus menyokong kadar sewaan dan penggunaan kapal pada masa akan datang, yang dilihat positif untuk prospek jangka panjang sektor tersebut. - DagangNews.com








