Permintaan kekal kukuh, SST dianggar tidak jejas sektor hartanah - MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan kekal kukuh, SST dianggar tidak jejas sektor hartanah - MIDF Research 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 Jun - Permintaan terhadap hartanah kekal memberangsangkan dengan jualan syarikat pemaju menunjukkan prestasi positif, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan sektor itu bagi tempoh akan datang.

 

MIDF Research berkata, impak peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap sektor hartanah dijangka minimum kerana bangunan kediaman dikecualikan daripada SST 6%.

 

"Bagi bangunan komersial dan perindustrian pula, kami menjangkakan impak SST adalah terhad memandangkan permintaan terhadap aset industri kekal kukuh," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menyenaraikan Mah Sing Group Bhd, Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) dan UOA Development Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor hartanah.

 

Menurutnya, prospek jualan baharu Mah Sing kekal stabil, didorong pelancaran projek kediaman mampu milik, manakala EcoWorld dijangka meraih manfaat hasil sumbangan kukuh daripada segmen hartanah industri.

 

MIDF Research turut menjangkakan prestasi pendapatan yang lebih baik bagi UOA Development, disokong oleh pengiktirafan keuntungan projek di Lembah Klang serta pendapatan daripada hartanah pelaburan.

 

"Dividen UOA Development juga menarik pada kadar 5.5%, disokong oleh kedudukan tunai bersih yang kukuh," tambah MIDF Research.

 

Dalam pada itu, pendapatan syarikat hartanah bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) secara keseluruhan berada dalam jangkaan, kecuali SP Setia Bhd yang mencatatkan prestasi di  paras bawah  disebabkan sumbangan lebih rendah daripada usaha sama dan syarikat bersekutu.

 

UOA Development pula melepasi jangkaan hasil kadar cukai yang lebih rendah, manakala Matrix Concepts Holdings Bhd mencatatkan penurunan akibat kadar penukaran jualan yang lemah daripada tempahan sedia ada.

 

Sebahagian besar pemaju lain mencatatkan pertumbuhan pendapatan hasil bil kemajuan (progress billing) projek berjalan yang lebih tinggi.

 

MIDF Research turut menjangka jualan hartanah baharu akan meningkat dalam separuh kedua 2025 seiring pelancaran projek yang lebih aktif.

 

Jumlah permohonan pinjaman perumahan juga menunjukkan peningkatan selama tiga bulan berturut-turut secara tahunan, dengan permohonan pinjaman melonjak 6.1% tahun ke tahun kepada RM56.2 bilion pada April, selepas mencatatkan pertumbuhan 4.8% pada Mac dan 18% pada Februari.

 

Secara bulanan, permohonan pinjaman bagi April meningkat 3.1% berbanding Mac meskipun sambutan Hari Raya, menjadikan nilai kumulatif permohonan mencecah RM203 bilion dalam tempoh empat bulan pertama 2025.

 

"Trend ini menunjukkan permintaan terhadap pembelian hartanah dalam negara kekal kukuh," jelas firma penyelidikan itu.- DagangNews.com