Perlembagaan dipinda tahun depan bagi pisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya - Parlimen dimaklumkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perlembagaan dipinda tahun depan bagi pisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya - Parlimen dimaklumkan

KUALA LUMPUR 6 Okt - Perlembagaan Persekutuan akan dipinda tahun depan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

 

Beliau berkata, pindaan tersebut akan membuka laluan kepada reformasi perundangan berstruktur yang membolehkan pengasingan kuasa dilaksanakan sepenuhnya.

 

“Jemaah Menteri telah membuat langkah besar ke hadapan pada 10 September lalu apabila bersetuju dengan satu model bagi pengasingan sepenuhnya fungsi AG dan PP, yang akan dipegang oleh dua individu berbeza namun berada pada kedudukan yang setara,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Baru) di Dewan Rakyat pada Isnin (6 Okt).

 

“Sebagai susulan kepada keputusan itu, langkah seterusnya untuk melaksanakan reformasi ini dengan berjaya ialah melalui pindaan kepada Perlembagaan, yang mesti dilakukan sebagai peruntukan penguatkuasaan bagi mengasingkan kuasa mengikut undang-undang.

 

“Matlamatnya ialah untuk membentangkan pindaan Perlembagaan itu pada tahun depan,” katanya sambil menambah bahawa pindaan tersebut akan menyediakan rangka kerja bagi fungsi AG sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, manakala fungsi pendakwaan akan dijalankan oleh PP.

 

Sebaik sahaja pindaan Perlembagaan itu dikuatkuasakan, Azalina berkata, pindaan berkaitan imbuhan dan skala gaji bagi PP perlu dibuat, termasuk pembentangan undang-undang omnibus bagi meminda pelbagai undang-undang berkaitan pendakwaan.

 

“Ini bermakna kerajaan bukan sahaja menyediakan pelan dasar, tetapi juga menetapkan garis masa yang konkrit untuk melaksanakan reformasi besar ini,” tambahnya.

 

Suasana sedikit tegang tercetus apabila berlaku pertikaman lidah selepas Azalina menyindir Takiyuddin kerana tidak melaksanakan reformasi tersebut ketika beliau memegang jawatan Menteri Undang-Undang lima tahun lalu.


 

AGC

 


Terdahulu, Takiyuddin membangkitkan kebimbangan mengenai integriti badan kehakiman dengan merujuk kepada isu tambahan arahan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak serta pelantikan hakim oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

 

Beliau turut mengingatkan Azalina bahawa ketika dilantik ke jawatan tersebut pada tahun 2023, beliau sendiri pernah menyeru supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung integriti badan kehakiman.

 

Menjawab perkara itu, Azalina berkata tidak sesuai baginya untuk mengulas kerana kedua-dua isu tersebut sedang dalam prosiding mahkamah dan boleh dianggap sub judice.

 

“Kerajaan Madani bukan kerajaan retorik yang sekadar pandai bercakap. Kami berbeza dengan YB (Takiyuddin) ketika beliau menjadi Menteri Undang-Undang pada 2020, yang bercakap tentang pengasingan kuasa AG dan PP, tetapi tiada sebarang pengasingan pun berlaku,” katanya, mencetuskan reaksi panas daripada Takiyuddin dan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

 

“You are playing politics. Answer the questions,” celah Takiyuddin.

 

Azalina hanya membalas ringkas: “Kami cakap, kami buat.”

 

Hashtag, we walk the talk,” tambahnya sambil ketawa kecil di tengah kekecohan dewan.

 

Speaker Tan Sri Johari Abdul kemudian menenangkan keadaan dengan meminta semua ahli Parlimen “bertenang dan simpan tenaga” bagi menghadapi baki 35 hari persidangan Parlimen yang sedang berlangsung. - DagangNews.com