Perbelanjaan iklan FY26 diunjur susut 9.5% kepada RM4.24 bilion, sektor media kekal tertekan - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan iklan FY26 diunjur susut 9.5% kepada RM4.24 bilion, sektor media kekal tertekan - Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Perbelanjaan pengiklanan (adex) industri media Malaysia bagi tahun kewangan 2026 (FY26) diunjurkan terus menyusut kepada RM4.24 bilion, mewakili penurunan 9.5% tahun ke tahun (YoY), mencerminkan tekanan berterusan ke atas platform media tradisional dan digital, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyusutan adex FY26 dijangka berlaku secara menyeluruh merentas semua segmen utama, termasuk televisyen percuma ke udara (FTA TV) yang diunjur turun 9% YoY, akhbar (-6% YoY), majalah (-7% YoY), radio (-9% YoY), pawagam (-23% YoY) serta pengiklanan digital (-17% YoY).

 

Kata firma itu lagi, walaupun trend penurunan adex dijangka berterusan, kadar penyusutan FY26 dilihat lebih sederhana berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh kesan asas yang rendah serta peningkatan aktiviti pemasaran berkaitan acara sukan utama pada 2026.

 

“Acara berskala besar seperti SUKMA Selangor, Piala Dunia FIFA dan Sukan Olimpik Musim Sejuk dijangka memberi sedikit sokongan kepada perbelanjaan pengiklanan, khususnya dalam tempoh tertentu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga berkata, namun begitu, sokongan bersifat sementara itu dijangka tidak mencukupi untuk mengubah landskap keseluruhan industri, memandangkan perubahan struktur dalam corak perbelanjaan pengiklan yang semakin memihak kepada platform digital global.

 

Sehubungan itu, pendirian UNDERWEIGHT terhadap sektor media dikekalkan, dengan Kenanga menegaskan pemain media legasi masih berdepan kehilangan bahagian pasaran adex secara struktur, di samping tekanan kos operasi yang berterusan.

 

Menurut Kenanga, menyoroti adex akhbar mencatat prestasi lemah sepanjang CY25, mencerminkan tekanan struktur berterusan yang dihadapi oleh pemain media cetak dan penyiaran tradisional.

 

Menurut data industri, adex akhbar susut 12% tahun ke tahun (YoY) pada CY25, dengan penurunan ketara dipacu oleh prestasi lemah The Star, yang menyaksikan adex merosot 42% YoY. Kelemahan ini adalah bersifat menyeluruh, melibatkan beberapa kumpulan media utama.

 

Bagi Media Chinese International Ltd (MEDIAC), adex merosot 40% YoY, terutamanya akibat kejatuhan hasil iklan di Sin Chew Daily yang menyusut 44% YoY. Sementara itu, Media Prima Bhd (MEDIA) turut mencatat penurunan adex sebanyak 8% YoY, diseret oleh prestasi lemah Harian Metro yang susut 22% YoY, serta penurunan lebih sederhana di New Straits Times (-8% YoY).

 

Tekanan ke atas pendapatan iklan tidak terhad kepada media cetak sahaja. Pada masa yang sama, adex bagi saluran televisyen percuma ke udara (FTA) di bawah MEDIA turut melemah 7% YoY pada CY25, sebahagian besarnya berpunca daripada sumbangan iklan yang lebih rendah daripada NTV7 dan TV9, yang masing-masing mencatat penurunan sekitar 7% YoY.

 

Apabila digabungkan dengan kelemahan berterusan dalam segmen cetak, jumlah adex keseluruhan MEDIA menurun 7% YoY pada CY25, seperti yang dijejaki oleh Nielsen.

 

Dalam persekitaran ini, keupayaan mengawal kos, memperkukuh kandungan proprietari serta menyesuaikan model perniagaan dilihat penting bagi memastikan kelangsungan dan daya saing pemain industri media tempatan. - DagangNews.com