Penyakit sedia ada turut dilindungi bawah pelan asas MHIT – Dzulkefly | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyakit sedia ada turut dilindungi bawah pelan asas MHIT – Dzulkefly

KUALA LUMPUR 6 Feb — Individu yang mempunyai penyakit sedia ada akan terus diberikan perlindungan di bawah Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira peningkatan ketara bilangan rakyat yang memilih untuk menamatkan polisi insurans kesihatan mereka.

 

“Ia bukan keputusan mudah. Kerajaan berjuang bersungguh-sungguh untuk memastikan individu dengan keadaan perubatan sedia ada terus dilindungi. Ya, ia akan diliputi sepenuhnya di bawah pelan MHIT,” katanya lapor The Star.

 

Berdasarkan data, lebih 340,000 individu telah melepaskan perlindungan insurans kesihatan antara Januari 2024 hingga Jun 2025 berikutan kenaikan premium yang tinggi oleh syarikat insurans.

 

Keputusan ini sekali gus menamatkan kebimbangan orang ramai terhadap akses perlindungan kesihatan yang semakin terhad akibat kenaikan premium insurans.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly mengesahkan pelaksanaan model Diagnosis-Related Group (DRG) di hospital swasta seluruh negara akan dilaksanakan bermula 2027 selepas mengalami penangguhan sebelum ini.

 

Menurut beliau, DRG akan diperkenalkan serentak dengan pelaksanaan MHIT sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem penjagaan kesihatan negara.

 

“Pelaksanaan DRG bersama MHIT adalah satu keperluan. Ia akan mengubah landskap pembiayaan kesihatan daripada bayaran berasaskan perkhidmatan kepada bayaran berasaskan hasil kesihatan,” katanya.

 

DRG merupakan sistem pembayaran hospital yang mengklasifikasikan pesakit mengikut diagnosis dan rawatan yang hampir sama, sebelum hospital dibayar kadar tetap bagi setiap kes, berbanding caj mengikut perkhidmatan.

 

Dzulkefly menegaskan, pendekatan itu selari dengan matlamat utama strategi RESET Kementerian Kesihatan yang menekankan sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).

 

“Jika sebelum ini sistem berasaskan ‘fee-for-service’, kini kita perlu beralih kepada ‘fee-for-health outcomes’. DRG akan menjadi mekanisme penting untuk melibatkan sektor swasta dalam reformasi ini,” katanya semasa sesi panel bertajuk Healthcare Reforms: Towards Equitable, Affordable and Quality Healthcare.

 

Tambah beliau, reformasi insurans kesihatan tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya sebagai sebahagian daripada transformasi keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negara bagi meningkatkan kecekapan dan ketepatan rawatan.

 

Selain itu, beliau berkata, sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) turut menjadi tonggak utama strategi RESET dengan menyediakan data berskala besar bagi menyokong pembangunan perubatan tepat (precision medicine) dan kesihatan awam tepat (precision public health).

 

“Strategi RESET mengubah pendekatan daripada sekadar mencari rawatan kepada penjagaan kesihatan sebenar. Dalam hal ini, peranan penjagaan kesihatan primer termasuk klinik dan pengamal perubatan am adalah sangat penting,” katanya.