Penstrukturan semula Empire Resorts kurangkan kos operasi Genting Malaysia - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penstrukturan semula Empire Resorts kurangkan kos operasi Genting Malaysia - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Ogos — Langkah penstrukturan semula besar-besaran ke atas Empire Resorts Inc, anak syarikat milik Genting Malaysia Berhad di Amerika Syarikat (AS), dilihat sebagai usaha menyelamatkan operasi yang mengalami kerugian, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha strategik ini dijangka dapat mengurangkan kos operasi dengan lebih ketara, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan jangka panjang kumpulan itu dan menstruktur semula kewangan secara menyeluruh.

 

Penstrukturan melibatkan cadangan pelupusan aset bukan permainan Empire, termasuk dua hotel, padang golf 18 lubang, pusat hiburan dan beberapa restoran, kepada Sullivan County Resort Facilities Local Development Corporation dengan nilai tunai AS$525 juta (kira-kira RM2.45 bilion).

 

"Hasil daripada pelupusan tersebut akan dapat digunakan untuk membeli tanah seluas 629.12 hektar daripada EPR Properties dengan nilai AS$201.3 juta (RM850.4 juta), sekali gus menghapuskan kos sewaan tanah tahunan yang selama ini membebankan Empire," kata PublicInvest dalam notanya.

 

Tambah firma berkenaan, langkah penebusan sepenuhnya bon bernilai AS$300 juta(RM1.26 bilion), menjadikan Empire bebas daripada hutang dan meningkatkan fleksibiliti kewangan.

 

Empire kata PublicInvest, akan menyewa semula aset-aset bukan permainan tersebut daripada Sullivan sehingga tahun 2066, di bawah perjanjian pengurusan selama 20 tahun yang boleh diperbaharui dua kali untuk lima tahun setiap satu.

 

Langkah ini dijangka menghasilkan penjimatan kos operasi tahunan yang signifikan, terutama daripada penghapusan bayaran sewa kepada EPR, pengurangan beban faedah kewangan akibat penebusan penuh bon dan pengurusan aset bukan permainan yang lebih cekap melalui pihak ketiga iaitu Sullivan.

 

"Kini, Empire merupakan pemilik dan pengendali Resorts World Catskills, salah satu pusat kasino dan resort utama di New York, AS," kata firma penyelidikan berkenaan.

 

Tanah yang dibeli itu tambahnya, turut merangkumi kawasan operasi sedia ada seluas 170 hektar serta lebih 459 hektar tanah kosong yang belum dibangunkan dan berpotensi dimajukan pada masa depan.

 

Meskipun perincian penuh perjanjian sewa dan pengurusan dengan Sullivan belum diumumkan, firma itu melihat penstrukturan tersebut sebagai langkah proaktif dan positif.

 

Susulan kejatuhan harga saham Genting Malaysia baru-baru ini dan potensi manfaat besar daripada langkah penstrukturan ini, PublicInvest menaik penarafan kepada 'neutral', dan harga sasaran disemak semula kepada RM1.84 sesaham. - DagangNews.com