KUALA LUMPUR 8 Mei — Semua permohonan untuk Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kini diproses secara digital berkuat kuasa sejak 5 Mei 2025 sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pemohon yang berjaya akan menerima e-Sijil secara elektronik melalui platform MYeHalal, yang turut boleh dicetak jika perlu pada bila-bila masa.
Langkah tersebut kata beliau, adalah sebahagian daripada usaha memacu pendigitalan sektor awam yang lebih luas, selain bertujuan bagi menyelaraskan segala penyampaian perkhidmatan dan juga mengurangkan masalah kelewatan birokrasi.
"Bagaimanapun, syarikat yang memerlukan sijil fizikal mesti mengemukakan permintaan rasmi dan akan dikenakan bayaran kerana dianggap cetakan semula mengikut Perkara 13 Manual Prosedur SPHM (Domestik) 2020," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Sirajuddin, pendigitalan proses pensijilan halal turut bertujuan meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan dengan memupuk inovasi dan memperkasakan modal insan.
“Ia juga mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip Malaysia Madani dan agenda kerajaan yang lebih luas untuk memodenkan urus tadbir perkhidmatan awam,” katanya.
Setakat ini, SPHM yang dibangunkan sendiri oleh Jakim dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia sejak 1974, sudah diiktiraf oleh 86 badan pensijilan halal di seluruh dunia.
Ia mengandungi 15 piawaian merangkumi skim makanan dan minuman, farmaseutikal, logistik, kosmetik, ujian makmal halal serta perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim. - DagangNews.com








