Penjualan tanah pacu pertumbuhan sederhana SD Guthrie, dijangka jana pendapatan sehingga RM1 bilion - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjualan tanah pacu pertumbuhan sederhana SD Guthrie, dijangka jana pendapatan sehingga RM1 bilion - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Jan — Strategi penjualan tanah SD Guthrie Bhd (SDG) dijangka menjadi pemacu pertumbuhan pendapatan sederhana syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang, disokong oleh usahasama strategik dengan pemain hartanah utama serta kerjasama erat di peringkat negeri, menurut penganalisi pasaran.

 

Firma penyelidikan Philip Capital Research berkata, kerjasama SDG bersama EcoWorld, Sime Darby Property, TH Property dan pelbagai agensi kerajaan negeri berpotensi menjana pendapatan tahunan antara RM500 juta hingga RM1 bilion. 

 

Katanya, pengurusan turut mengekalkan panduan hasil jualan tanah purata sebanyak RM500 juta hingga RM700 juta setahun.

 

"Dengan beberapa projek pembangunan sedang dalam perancangan serta pelaksanaan yang disokong oleh rakan strategik kukuh, kejayaan inisiatif ini berpotensi menilai semula SDG sebagai pemain perladangan unik yang mempunyai aliran pendapatan berulang di luar segmen huluan," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini

 

Philip Capital mengekalkan saranan BELI ke atas saham SDG dengan harga sasaran (TP) 12 bulan tidak berubah pada RM6.75, berdasarkan penilaian sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 19 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2026.

 

Menurut firma itu lagi, walaupun prestasi pendapatan jangka pendek masih terdedah kepada turun naik harga minyak sawit mentah (CPO) serta normalisasi margin operasi hiliran, penilaian semasa dilihat belum sepenuhnya mencerminkan penambahbaikan profil huluan syarikat dan nilai jangka panjang daripada inisiatif pengewangan tanah serta tenaga boleh diperbaharui.

 

"Model operasi bersepadu, kredibiliti kelestarian yang kukuh serta kepelbagaian geografi operasi terus menyokong kedudukan SDG sebagai kaunter perladangan defensif," katanya. 

 

Antara pemangkin jangka panjang termasuk pemeteraian perjanjian usahasama (JV) dan perjanjian jual beli (SPA) baharu dalam pembangunan perindustrian, selain pengoptimuman kapasiti hiliran yang berpotensi meningkatkan lagi realisasi nilai.

 

Bagaimanapun, risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk volatiliti harga minyak sawit, prestasi pengeluaran yang lebih lemah, perubahan dasar kerajaan serta tekanan margin hiliran yang berpanjangan.

 

Sementara itu AmInvestment Bank (AmInvest) menaikkan  harga TP SDG kepada RM6.90 sesaham berbanding RM6.20 sebelum ini. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, dengan strategi penanaman semula yang mantap, unit hiliran berdaya tahan, serta inisiatif pengewangan tanah yang agresif, SDG dilihat berada pada kedudukan baik untuk meningkatkan pendapatan berulang dan memperkukuh profil perladangan secara berterusan.

 

Katanya, dalam unit huluan, purata umur pokok kelapa sawit kumpulan dijangka menurun kepada 10 tahun dalam tempoh tiga tahun akan datang daripada 11.4 tahun pada masa ini, hasil daripada program penanaman semula yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

Strategi ini dijangka menyumbang kepada peningkatan hasil tandan buah segar (FFB) dalam jangka panjang.

 

Perniagaan hiliran SDG dijangka mengekalkan margin keuntungan positif disokong oleh penawaran produk sawit mampan premium. 

 

Unit ini terbukti berdaya tahan dan masih belum mencatatkan kerugian, sekaligus memberi keyakinan kepada AmInvest untuk menggunakan PE FY26F 20x berbanding 18x sebelum ini bagi mengira TP, sejajar purata lima tahun bagi syarikat perladangan berkapitalisasi besar.

 

Margin EBIT unit hiliran dijangka kekal antara 3% hingga 5%, disokong oleh permintaan positif terhadap produk sawit mampan SDG, khususnya di Amerika Syarikat dan China. 

 

SDG juga bersedia menghadapi pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember 2026, dengan penghantaran percubaan produk patuh EUDR ke EU telah dilakukan pada akhir 2024.

 

Dalam usaha penjualan aset, SDG telah mengunci keuntungan pelupusan tanah sebanyak RM364 juta bagi FY26F hasil cadangan pelupusan tanah yang diumumkan pada Disember 2025. 

 

"Satu lagi pelupusan tanah dijangka membawa hasil melebihi RM800 juta dan keuntungan lebih RM400 juta," kata firma itu. - DagangNews.com