Peningkatan produktiviti imbangi harga jualan sederhana Johor Plantations, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan produktiviti imbangi harga jualan sederhana Johor Plantations, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mei — Pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti sebagai mengimbangi purata harga jualan (ASP) yang sederhana dialami Johor Plantations Group Berhad, kata RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan berkenaan dijangka dapat membantu kumpulan perladangan itu mencatatkan hasil positif pada tempoh tiga bulan yang berikutnya.


Katanya, ia adalah disebabkan jangkaan hasil yang lebih lemah pada suku akan datang disebabkan andaian penyederhanaan ASP bagi komoditi kelapa sawit.


"Bagaimanapun situasi itu mungkin dapat diimbangi dengan Johor Plantations bertindak segera meningkatkan tahap produktiviti pada suku tersebut," kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Terdahulu, pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM75.27 juta, meningkat 52 peratus berbanding tempoh sama 2024.

 

Artikel berkaitan: Johor Plantations catat untung bersih RM75.27 juta pada 1QFY25 didorong harga sawit lebih tinggi


Lonjakan itu susulan harga tinggi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) dengan hasil meningkat 15.4 peratus kepada RM340.43 juta pada 1QFY25 daripada RM294.91 juta pada 1QFY24.


Mengulas perkembangan positif itu, RHB Research berkata, hasil diperoleh Johor Plantations pada 1QFY25 adalah selaras dengan anggaran firma penyelidikan tersebut dan unjuran pelbagai pihak.


"Kami sehubungan itu terus mengekalkan saranan "beli" dan menyemak semula harga sasaran (TP) sesaham kepada RM1.55 berbanding RM1.65 sesaham sebelum ini," katanya.


Firma penyelidikan itu optimis dengan prestasi akan datang kumpulan tersebut dengan mengunjurkan hasil pada FY25 boleh bertambah sebanyak lima peratus berdasarkan kepada keadaan semasa.


Johor Plantations kata RHB Research bagaimanapun perlu berdepan dengan beberapa risiko utama termasuk turun naik harga MSM dan jangkaan keadaan cuaca buruk di ladang-ladangnya. - DagangNews.com