Pengurusan sisa REE perlu diperhalusi sebelum Malaysia ceburi industri perlombongan – Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengurusan sisa REE perlu diperhalusi sebelum Malaysia ceburi industri perlombongan – Parlimen diberitahu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Prosedur pengurusan sisa yang berkaitan dengan perlombongan unsur nadir bumi (REE) perlu diperhalusi sebelum Malaysia menceburi industri tersebut, Dewan Rakyat diberitahu.

 

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kajian yang betul dan terperinci perlu dijalankan terlebih dahulu.

 

Johari berkata, aktiviti perlombongan, jika tidak diuruskan dengan baik, boleh mengakibatkan lebihan hasil yang membawa kepada bencana.

 

“Jika kita benar-benar mahu menceburi industri nadir bumi, kita mesti jelas tentang bagaimana sisa tersebut diuruskan,” katanya ketika sesi soal jawab pada Isnin (18 Ogos).


 

Datuk Seri Johari Abdul Ghani
                        Datuk Seri Johari Abdul Ghani

 


Beliau turut membero contoh aktiviti perlombongan tembaga di Ranau, Sabah dari tahun 1975 hingga 1999, yang menyebabkan air di kawasan tersebut tidak lagi selamat walaupun untuk ikan.

 

Johari juga menyentuh mengenai satu lagi insiden di Bukit Merah, Perak dari tahun 1982 hingga 1994.

 

“Perlombongan dijalankan di situ tetapi akhirnya lombong ditutup kerana tiada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengurusan sisa,” katanya.

 

Johari menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta penjelasan mengenai perkara itu.

 

Alias turut bertanya mengenai status kajian yang sedang dijalankan berhubung perlombongan unsur nadir bumi di hutan simpan kekal.

 

Menjawab perkara itu, Johari berkata Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan menjalankan kajian impak terhadap aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.

 

Kajian itu bertujuan mewujudkan asas saintifik dan teknikal bagi dasar berkaitan larangan aktiviti perlombongan di hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan.

 

“Kajian ini dijalankan secara berfasa dalam tempoh lima tahun,” katanya.

 

Menjelaskan lanjut, beliau berkata fasa pertama melibatkan pra-perlombongan (2024 hingga 2025), semasa perlombongan (2026 hingga 2027) dan pasca perlombongan (2028 hingga 2029).

 

“Komponen kajian akan merangkumi aspek hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosio-ekonomi,” katanya. - DagangNews.com