KUALA LUMPUR 5 Feb - Pengukuhan ringgit kebelakangan ini mencerminkan tadbir urus yang lebih baik dan bersih di bawah pentadbiran Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kenaikan nilai mata wang itu didorong oleh peningkatan keyakinan pelabur terhadap prestasi kerajaan, sambil menambah bahawa ekonomi secara keseluruhan kekal berada pada landasan yang kukuh.
Menurut beliau, kenaikan mata wang tempatan itu selari dengan perkembangan ekonomi negara yang kukuh, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat sekitar 4.9% pada 2025, manakala inflasi berjaya dikekang pada 1.6%.
“Satu isyarat jelas terhadap keyakinan yang diperbaharui ialah pengukuhan ringgit.
"Faktor luaran memainkan peranan, tetapi nilai mata wang mencerminkan kepercayaan terhadap institusi, hala tuju dasar, dan tadbir urus negara yang berdisiplin,” katanya dalam ucapan dasar di Forum Ekonomi Malaysia 2026 di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.
Anwar berkata, kemajuan tersebut adalah hasil usaha berterusan untuk memulihkan kepercayaan awam terhadap pengurusan kewangan negara, memperkukuh kredibiliti institusi dan menegakkan integriti dalam pelaksanaan kuasa.
Katanya, kepercayaan itu sedang dibina semula kerana kerajaan Madani ini telah mengambil pendirian yang jelas, berprinsip dan tidak berkompromi dalam soal tadbir urus.
"Tiada toleransi terhadap rasuah dan tiada pengecualian kepada mereka yang berkepentingan. Tanpa kebertanggungjawaban, tiada kredibiliti. Tanpa kredibiliti, tiada pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa petunjuk ekonomi yang positif sahaja tidak mencukupi untuk menilai kejayaan kerajaan.
“Pasaran mungkin bertindak balas terhadap data, tetapi rakyat menilai berdasarkan pengalaman. Pertumbuhan mesti dirasai di rumah, di tempat kerja dan dalam kos sara hidup yang dihadapi oleh keluarga biasa. Jika tidak, ia hanya bersifat kosong,” tambah beliau. - DagangNews.com








