Penggunaan air pusat data hanya 21–28%, hasil sumbangan tarif khas mampu tampung kos sistem bekalan, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penggunaan air pusat data hanya 21–28%, hasil sumbangan tarif khas mampu tampung kos sistem bekalan, Parlimen diberitahu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 19 Nov – Penggunaan air pusat data di Selangor dan Johor kekal jauh lebih rendah daripada jumlah yang dipohon, dengan kerajaan menegaskan bahawa hasil kutipan daripada sektor itu mencukupi untuk menampung kos pembinaan serta penyelenggaraan sistem bekalan air khusus bagi kemudahan tersebut.

 

Menurut Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, data menunjukkan sembilan pusat data di Selangor memohon 5.71 juta liter sehari (MLD) tahun lalu namun hanya 1.61 MLD diperuntukkan, bersamaan 28% daripada permintaan, manakala penggunaan keseluruhan negeri mencecah 5,308 MLD pada 2024.

 

Di Johor pula, 13 pusat data memohon 29.1 MLD tetapi hanya 6.10 MLD diluluskan atau 21%, dengan keseluruhan penggunaan negeri sebanyak 2,001 MLD.

 

“Jumlah kutipan daripada caj sumbangan modal serta tarif khas adalah mencukupi untuk menampung kos pembinaan dan penyelenggaraan sistem bekalan air bagi pusat data,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat.

 

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai sama ada hasil sumbangan modal air daripada pusat data mampu menampung keseluruhan kos pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur berkaitan.

 

Menurut Fadillah, unjuran berdasarkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) menunjukkan permintaan air pusat data bakal meningkat ketara dalam tempoh enam tahun akan datang, dengan Selangor dijangka mencapai 73.88 MLD menjelang 2030, Johor 384 MLD dan Negeri Sembilan 56 MLD.

 

Fadillah turut menjelaskan jumlah sumbangan modal untuk bekalan air bagi pelaburan pusat data adalah berpandukan pengiraan di bawah Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj) (Pindaan) 2025 yang berkuat kuasa 1 September lalu.

 

Sumbangan modal itu meliputi pembinaan sistem bekalan air dari titik sambungan yang ditetapkan ke setiap kemudahan pusat data, manakala kos penyelenggaraan tidak termasuk dalam sumbangan tersebut tetapi dipulihkan melalui tarif khas RM5.30 per meter padu.

 

Beliau berkata setakat ini tiada anggaran hasil dapat diberikan kerana sebahagian besar projek pusat data masih berada pada peringkat perancangan. - DagangNews.com