KUALA LUMPUR 6 Nov - Sunway Bhd dan IJM Corporation Bhd dilaporkan sedang mengadakan perbincangan mengenai potensi penggabungan yang jika menjadi kenyataan bakal melahirkan sebuah syarikat berkuasa besar dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan negara, menurut portal Scoop yang memetik sumber industri.
Menurut sumber-sumber industri, kedua-dua syarikat itu dikatakan telah mengadakan rundingan lebih setahun bagi merangka cadangan penggabungan bernilai berbilion ringgit yang dijangka dilaksanakan melalui susunan pertukaran saham.
Katanya, penilaian penggabungan ini mengambil kira aset, penilaian pasaran serta modal pasaran kedua-dua syarikat tersenarai utama itu.
Berdasarkan data terkini, Sunway mencatatkan hasil sebanyak RM7.8 bilion pada tahun lalu, manakala IJM meraih pendapatan RM5.9 bilion.
"Namun, di sebalik potensi untuk mewujudkan gergasi infrastruktur baharu Malaysia, cadangan ini dijangka berdepan cabaran daripada aspek pegangan saham institusi Bumiputera dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam struktur pemilikan IJM," kata sumber itu.
Lebih separuh saham IJM kini dimiliki oleh pelabur institusi Bumiputera, dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 18.04% dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebanyak 14.55%.
Antara pemegang saham lain termasuk Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji, Amanah Raya Bhd, dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Di tengah-tengah empayar Kumpulan Sunway yang memiliki portfolio luas dalam pembinaan, hartanah, hospitaliti dan pendidikan, ialah pengasas dan pengerusinya, Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling.
Sementara itu, IJM Corporation dipacu oleh Pengerusi Bukan Eksekutifnya, Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, yang juga tokoh berpengalaman lama dalam sektor kejuruteraan dan infrastruktur.
Cadangan penggabungan ini dijangka menarik perhatian pihak kerajaan dan pelabur institusi, khususnya selepas isu pencairan pegangan Bumiputera pernah menjadi perbincangan dalam cadangan pengambilalihan Prolintas oleh IJM, yang merupakan anak syarikat PNB.
Ketika itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan institusi pelaburan milik negara dan Bumiputera agar terus memelihara pegangan terhadap aset strategik negara, termasuk infrastruktur utama seperti lebuh raya.
Kenyataan beliau pada Ogos lalu dibuat susulan pengumuman PNB bahawa syarikat itu sedang menilai pelupusan aset lebuh raya miliknya, termasuk Prolintas, dengan IJM dan AFA Prime (pemilik Lebuhraya Karak) dikenal pasti sebagai pihak berminat utama. - DagangNews.com








