KUALA LUMPUR 26 Mei — Kebarangkalian Sime Darby Berhad disingkir daripada senarai indeks FBM KLCI dijangka memberi tekanan jangka pendek kepada harga saham kumpulan itu, menurut penganalisis.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berpendapat asas perniagaan kumpulan berkenaan masih lagi kukuh dan sebarang kelemahan harga sahamnya boleh menjadi peluang pengumpulan bagi para pelabur.
RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.27 daripada RM2.55, manakala TA Securities menaik penarafan kepada 'pegang' daripada 'jual' dengan TP RM2.16 berbanding RM2.10.
Sementara itu, RHB Research menilai keuntungan teras Sime Darby bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 yang meningkat 25% kepada RM1.03 bilion sebagai memenuhi 74% daripada unjuran penuhnya.
"Prestasi lebih baik disokong terutama menerusi pengurangan kos pembiayaan sebanyak 28% tahun ke tahun (YoY) berikutan langkah agresif dilaksanakan kumpulan bagi mengurangkan hutang," katanya.
Bagaimanapun ujarnya, segmen motor merekodkan penurunan keuntungan kasar sebanyak 32% suku ke suku (QoQ) kepada kira-kira RM143 juta susulan jualan kenderaan yang lebih perlahan secara bermusim.
RHB Research menambah, operasi di China kembali mencatatkan kerugian RM14 juta berikutan kelewatan pengiktirafan rebat dan Sime Darby menjangkakan ia hanya dapat diiktiraf pada suku keempat FY26.
Kumpulan berkenaan jelas firma penyelidikan berkenaan, namun masih lagi kekal optimis terhadap operasinya di China yang mampu mencapai titik pulang modal menjelang akhir tahun kewangan semasa.
"Bagi segmen industri pula, hasil suku ketiga susut 8% QoQ akibat kelewatan pengiktirafan projek pusat data (DC) di Malaysia, tetapi penghantaran projek dijangka naik dalam suku semasa," katanya.
Artikel berkaitan: Untung bersih Sime Darby melonjak tinggi kepada RM654 juta pada 3QFY26 hasil pelupusan tanah MVV
Dalam pada itu, TA Securities berkata keuntungan bersih teras Sime Darby bagi 3QFY26 meningkat 33.6% kepada RM314 juta walaupun hasil menurun 3.4%, didorong oleh kos pembiayaan lebih rendah.
Ujarnya, untuk tempoh sembilan bulan FY26, keuntungan teras terkumpul naik kira-kira 28.3% kepada RM1 bilion, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen motor dan UMW Holdings Berhad.
Firma itu berkata jualan kenderaan elektrik (EV) yang tinggi di Singapura dan Hong Kong membantu meningkatkan prestasi automotif, dengan jumlah penjualan bertambah 9.7% kepada 106,200 unit.
"Dalam perkembangan lain, pengurusan Sime Darby mendedahkan buku tempahan segmen industri naik 41% QoQ kepada RM1.7 bilion, dipacu permintaan sistem tenaga daripada projek DC," kata TA Securities.
Syarikat itu juga jelasnya, melihat peluang pemasangan tempatan EV susulan perubahan syarat import CBU, dengan hubungan rapat bersama BYD Company Limited membuka ruang kepada kerjasama masa depan.
Firma penyelidikan tersebut turut melaporkan tempahan terkumpul bagi kenderaan Toyota kini 11,000 unit, manakala Perodua sebanyak 43,000 unit, yang memberi keterlihatan jualan secara berterusan.
TA Securities menambah, walaupun isu geopolitik global meningkatkan kos bahan api dan operasinya, Sime Darby masih menegaskan rantaian bekalan adalah kekal stabil tanpa gangguan besar setakat ini.
"Kami percaya prospek jangka panjang positif, disokong pemulihan beransur-ansur segmen industri, pertumbuhan automotif termasuk EV serta pulangan dividen yang menarik," jelas firma berkenaan.
Secara keseluruhan, kedua-dua firma tersebut menilai sentimen pasaran mungkin akan terjejas sementara waktu sekiranya saham itu disingkirkan daripada FBM KLCI. - DagangNews.com








