KUALA LUMPUR 30 Okt - Penganalisis mengekalkan unjuran pendapatan IJM Corporation Bhd di sebalik kemenangan kontrak berganda dalam tempoh seminggu berjumlah RM2.14 bilion membabitkan pembinaan pusat data di Elmina Business Park, Selangor.
Bagaimanapun, penganalisis sependapat menyarankan BELI kepada saham IJM dengan Maybank IB meletakkan harga sasaran RM3.18, MBSB Research (RM3.60) dan RHB Research (RM3.62).
Menurut Maybank IB, dengan pencapaian kontrak terkini, jumlah keseluruhan kontrak baharu FYTD IJM mencapai RM5.0 bilion, bersamaan 84% daripada unjuran RM6.0–RM8.0 bilion yang ditetapkan syarikat bagi FY3/26E.
Buku pesanan semasa sebanyak RM9.3 bilion kini hampir menyamai paras tertinggi sejarah syarikat iaitu RM9.4 bilion yang dicatat pada FY3/18A.
Semalam, IJM mengumumkan memperoleh kontrak bernilai RM873.9 juta daripada Pearl Computing Malaysia untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan sistem mekanikal, elektrikal, keselamatan dan telekomunikasi di Elmina Business Park, Selangor.
Kontrak ini susulan pakej core-and-shell bernilai RM1.26 bilion yang dianugerahkan oleh Sime Darby Property pada 23 Oktober 2025, menjadikan jumlah keseluruhan nilai projek pusat data tersebut sebanyak RM2.14 bilion.
Berdasarkan andaian margin keuntungan sebelum cukai antara 6–9% dan kadar cukai korporat 24%, projek ini dijangka menyumbang tambahan keuntungan sebanyak RM40 juta hingga RM60 juta (bersamaan 1–2 sen sesaham) sepanjang tempoh projek.
Bagaimanapun Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada walaupun pencapaian kontrak FYTD telah memenuhi 82% daripada sasaran tahunan, memandangkan pelaksanaan kontrak M&E ini hanya akan bermula pada FY3/27E.
Sementara itu MBSB Research berkata, pengurusan kos yang berdisiplin dan kedudukan kewangan yang kukuh (nisbah hutang bersih 0.26×) memberikan ruang yang mencukupi untuk IJM menyokong bidaan projek baharu serta inisiatif pembiayaan swasta.
"Kami melihat gabungan momentum penambahan projek yang kuat, peningkatan margin daripada kerja-kerja DC, dan peningkatan pelaksanaan kontrak antarabangsa (JRL dan Hexacon) sebagai pemacu utama pertumbuhan pendapatan berterusan bagi FY26–27.
"Dengan buku pesanan domestik yang kukuh sebanyak RM9.33 bilion, pendedahan yang semakin berkembang dalam pembangunan digital dan industri bermargin tinggi, serta rekod pelaksanaan yang mantap, kami terus melihat IJM berada pada kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada kitaran kenaikan infrastruktur dan pusat data (DC) semasa," kata firma itu.
Dalam pada itu RHB Research menyifatkan saham IJM menawarkan potensi kenaikan 37% serta hasil dividen FY2026 sebanyak 3%.
“Kontrak baharu ini masih dalam lingkungan sasaran kerja FY26 sebanyak RM6 bilion. Potensi pemangkin seterusnya ialah kemenangan projek pusat data baharu di Lembah Klang atau Johor, serta projek perumahan penjawat awam di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara,” katanya dalam nota penyelidikan. - DagangNews.com








