Pengambilalihan aset RM1.3 bilion bakal kukuhkan pertumbuhan Axis REIT - Penganalisis   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan aset RM1.3 bilion bakal kukuhkan pertumbuhan Axis REIT - Penganalisis  

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jan - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan pertumbuhan jangka sederhana, disokong oleh saluran pengambilalihan bernilai kira-kira RM1.3 bilion serta struktur kewangan yang kekal berdisiplin.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata pada masa ini, tahap penggearan Axis REIT berada sekitar 32%, memberikan ruang kewangan yang mencukupi untuk pengembangan selanjutnya.

 

"Kedudukan ini turut diperkukuh oleh terbitan sukuk terbaharu yang berjaya memanjangkan tempoh matang hutang kepada 10 tahun dan 7 tahun, sekali gus mengurangkan risiko pembiayaan semula dan meningkatkan kestabilan aliran tunai," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata, saluran pengambilalihan kumpulan kekal signifikan, melibatkan beberapa aset strategik termasuk sebuah aset industri bernilai RM800 juta di Pulau Pinang, sebuah gudang di Telok Gong, serta kemudahan industri bina-untuk-sewa di Senai, Johor. 

 

"Aset-aset ini dijangka menyumbang secara positif kepada pertumbuhan pendapatan dan pengembangan asas aset Axis REIT dalam jangka sederhana, sejajar dengan permintaan berterusan terhadap kemudahan industri dan logistik berkualiti tinggi," katanya.

 

Firma itu menambah, dengan asas sektor logistik yang kekal kukuh serta pertumbuhan disokong oleh saluran pengambilalihan yang jelas, pihaknya mengekalkan saranan BELI dengan DDM-TP tidak berubah pada RM2.30.

 

Meskipun prestasi 4Q25 Axis REIT menyaksikan penurunan kecil kadar penghunian, namun penyewa pengganti telah pun diperoleh bagi aset yang terjejas, dengan pajakan bermula dari Mac 2026. 

 

Ini dijangka menyokong pemulihan kadar penghunian ke paras pertengahan 90% menjelang akhir 1Q26. Yang ketara, aset-aset ini hanya menyumbang kira-kira 2% daripada jumlah hasil dan NPI.

 

Sementara itu aktiviti pengambilalihan aktif dan potensi peningkatan hasil sewa mendorong CGS International (CGSI) mengekalkan saranan TAMBAH bagi Axis REIT dengan harga sasaran berasaskan DDM RM2.29. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar penghunian portfolio Axis REIT kekal stabil pada FY26F berikutan permintaan ruang industri yang meningkat di Malaysia. 

 

Selain itu, Axis REIT dijangka mengekalkan kadar kenaikan sewa purata melebihi 5% pada FY26F, seiring pencapaian FY25.

 

"Tahap gearing Axis REIT kekal terkawal pada 0.32x pada akhir 4QFY25 dan dijangka meningkat kepada 0.43x selepas pengambilalihan selesai," kata firma itu.

 

MBSB Research turut mengekalkan saranan BELI bagi Axis REIT dengan harga sasaran RM2.17, berdasarkan model diskaun dividen. 

 

"Prospek jangka pendek dilihat menjanjikan, disokong oleh prestasi stabil aset industri dan hasil pengagihan kasar menarik pada 5.2%," katanya. - DagangNews.com