Penempatan saham, terbitan waran bakal sediakan NexG modal baharu RM428 juta - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penempatan saham, terbitan waran bakal sediakan NexG modal baharu RM428 juta - penganalisis

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Julai – NexG Bhd, penyedia teknologi utama untuk projek MyKad Malaysia sejak 2012, sedang merancang fasa pertumbuhan seterusnya dengan cadangan penempatan saham secara persendirian dan terbitan waran yang dijangka meraih sehingga RM428 juta modal baharu.

 

Dana tersebut akan digunakan bagi tujuan pengambilalihan kilang, pembayaran hutang, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan.

 

 

 

 

 

 

Meskipun langkah korporat ini dijangka mendatangkan kesan dalam jangka pendek, ia bakal meningkatkan fleksibiliti kewangan NexG untuk melaksanakan rancangan pengembangan antarabangsa sulungnya, menurut Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Thong Pak Leng.

 

Beliau berkata penempatan saham sehingga 10 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat itu dijangka meraih sehingga RM133.7 juta, manakala terbitan 1.39 bilion waran pada harga pelaksanaan 21.17 sen seunit berpotensi menjana sehingga RM428 juta jika semuanya ditebus.

 

“Walaupun penempatan saham dan waran ini akan mencairkan pendapatan sesaham (EPS), ia akan membekalkan NexG dengan modal mencukupi untuk merealisasikan rancangan pengembangan antarabangsa di samping terus mengukuhkan perniagaan domestik,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

“Kami berpandangan pelaburan ke dalam fasiliti global dokumen identiti selamat ini bukan sahaja akan meningkatkan profil pendapatan NexG malah turut mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat di luar Malaysia sekali gus membuka laluan kepada kelestarian dan daya tahan jangka panjang dalam pasaran global yang kompetitif.”

 

 

NexG

 

 

NexG merupakan pengeluar dokumen identiti berkeselamatan tinggi serta pembekal penyelesaian menyeluruh bagi pasport bercip kad pengenalan nasional halaman biodata polikarbonat dan lesen memandu khusus. Sejak 2012 syarikat ini menjadi penyedia teknologi utama untuk program MyKad Malaysia dan sejak 2016 turut membekalkan penyelesaian e-pasport kepada kerajaan Malaysia.

 

Buku pesanan semasa syarikat mencecah sekitar RM570 juta disokong oleh program berterusan MyKad dan e-pasport sekali gus memberikan jaminan pendapatan kukuh kepada NexG.

 

Sejajar dengan strategi pengembangannya NexG merancang membina fasiliti baharu pengeluaran dokumen identiti berkeselamatan tinggi bernilai RM250 juta yang juga merupakan projek besar pertama syarikat di luar negara.

 

Kilang ini akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan setiap fasa dijangka menjana pendapatan antara AS$100 juta hingga AS$200 juta (RM421 juta hingga RM842 juta) bergantung kepada skop projek jenis dokumen piawaian negara dan tahap kerumitan keselamatan. Pengembangan ini bakal dibiayai menerusi gabungan pinjaman hasil penempatan saham dan dana dalaman.

 

Bagi memenuhi permintaan domestik yang kian meningkat NexG turut mengambil alih sebuah kilang berkeluasan 30,000 kaki persegi di Lembah Klang dengan nilai RM18.4 juta selain melabur RM1.6 juta bagi menaik taraf jentera untuk mengurangkan tekanan kapasiti di kilangnya di Petaling Jaya yang kini beroperasi pada tahap maksimum.

 

Pada masa sama syarikat memperuntukkan RM6 juta untuk R&D bagi memajukan penyelesaian biometrik anti-penipuan dan platform mudah alih serta RM4 juta untuk menaik taraf sistem ERP dan IT sebagai sebahagian daripada inisiatif digital syarikat.

 

Rakuten Trade mengekalkan saranan BELI ke atas saham NexG dengan harga sasaran 61 sen bersamaan 23 kali ganda anggaran EPS terencat sepenuhnya bagi tahun kewangan berakhir Mac 2027 (FY3/27). Penilaian ini mencerminkan sedikit diskaun berbanding purata sektor serantau mengambil kira skala NexG yang lebih kecil.

 

Thong menjelaskan bahawa anggaran EPS terencat ini mengambil kira pembesaran asas saham syarikat dengan andaian pelaksanaan penuh opsyen saham pekerja penempatan saham persendirian serta penebusan 1.39 bilion waran sepanjang tiga tahun dengan satu pertiga daripadanya ditebus setiap tahun dari FY3/26 hingga FY3/28. - DagangNews.com