KUALA LUMPUR 16 Mei — Pendapatan sesaham (EPS) teras Axiata Group Berhad pada tahun kewangan 2025 dan 2026 diramal lemah dengan jangkaan kerugian berikutan penyatuan XLS bersama-sama Smartfren serta kos berkaitan, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, EPS kumpulan tersebut diunjur hanya dapat melebihi paras sebelum proses penggabungan menjelang tahun kewangan 2027, apabila ia mula menyedari manfaat penuh sinergi daripada penggabungan berkenaan.
Ia mengekalkan saranan "beli"dengan harga sasaran (TP) RM2.60 sesaham selepas semakan hasil serta penurunan nilai perusahaan syarikat Edotco kepada sasaran pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EV/EBITDA) iaitu 22 sen.
"Kami melihat potensi inisiatif pembentukan aset antara 12 hingga 18 bulan sebagai pemangkin penarafan semula," kata CIMB Securities dalam nota kajian dan merujuk nilai perusahaan Edotco sebanyak AS$3.5 bilion (RM15.1 bilion) dinilai munasabah 8.4 kali gandaan EV/EBITDA pada FY24.
Katanya, selepas mengambil kira hutang bersih proforma sebanyak RM4.6 bilion pada akhir FY24, yang termasuk jangkaan hasil daripada penjualan Edotco Myanmar (EMM) yang belum selesai berjumlah AS$150 juta (RM640 juta), anggaran nilai ekuiti mencecah RM10.5 bilion.
Axiata katanya, boleh menerima tunai RM6.6 bilion atau 72 sen setiap saham untuk 63 peratus kepentingan dan jika digunakan sepenuhnya untuk membayar balik hutang, penjimatan kos faedah dianggarkan RM218 juta, yang sebahagian besar mengimbangi penyingkiran sumbangan hasil Edotco.
Keupayaan Axiata tambah firma penyelidikan itu untuk membayar dividen sesaham (DPS) boleh meningkat kepada 12.3 sen pada FY26, berbanding anggaran semasanya sebanyak 10.5 sen.
Potensi peningkatan itu disebabkan pembayaran faedah lebih rendah ke atas hutang syarikat induk Axiata (HoldCo), yang dijangka lebih mengimbangi kerugian dividen agak kecil daripada Edotco, dengan dianggarkan RM32 juta hingga RM83 juta antara FY25 dan FY27.
"Sebaliknya, ini mungkin menyebabkan Axiata menaikkan DPS daripada FY26, setahun lebih awal berbanding jangkaan kami. Dari segi kunci kira-kira, hutang HoldCo mungkin jatuh daripada RM9.5 bilion pada akhir FY24 kepada hanya RM1.4 bilion menjelang akhir 2025," kata CIMB Securities.
Perkembangan tersebut jelas firma berkenaan, menyaksikan hutang bersih kumpulan/EBITDA pada 1.0 kali ganda dan sebagai alternatif, Axiata juga boleh membayar sebahagian daripadanya dalam bentuk jualan khas.
Ia turut mengemas kini ramalan keuntungan bersih teras Axiata dari FY25 hingga FY27 berdasarkan keputusan 2024 syarikat pengendali serta penggabungan baru-baru ini, termasuk penggabungan Dialog-Airtel yang diselesaikan pada Jun 2024 dan penggabungan XLS pada April 2025.
CIMB Securities juga mengambil kira peralihan struktur syarikat itu di Indonesia, dengan perniagaan B2C Link Net dipindahkan ke XLS pada tempoh suku ketiga 2024.
Selepas semakan, ia meramalkan keuntungan bersih teras Axiata merosot 49 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM439 juta pada FY25 dan kemudian pulih sebanyak 71 peratus YoY kepada RM750 juta pada FY26, walaupun masih kekal di bawah paras FY24 juta iaitu RM852 juta.
"Kami hanya menjangkakan keuntungan bersih teras Axiata meningkat di atas paras sebelum penggabungan XLS pada FY27, dengan pertumbuhan 68 peratus lagi YoY kepada RM1.26 bilion," tambah firma penyelidikan tersebut. - DagangNews.com








