Pendapatan MN Holdings dijangka pulih semula pada FY27, HLIB kekalkan saranan BELI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan MN Holdings dijangka pulih semula pada FY27, HLIB kekalkan saranan BELI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Dis — MN Holdings Bhd (MNH) dijangka kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun kewangan 2027 (FY27), didorong oleh pelaksanaan kontrak baharu daripada Pelanggan A yang dijangka bermula dalam tempoh dua suku tahun akan datang.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), kumpulan itu berkemungkinan mengalami penyusutan pendapatan sementara pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4Q26) berikutan penyiapan tiga projek pusat data (DC) utama melibatkan Pelanggan A, D dan E yang dijadualkan siap menjelang awal 2026.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan fasa peralihan tersebut telahpun diambil kira oleh pasaran dan dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap sentimen atau kedudukan pelabur.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan BELI ke atas saham MNH dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.23 sesaham, selain terus menggemari kumpulan tersebut berikutan pendedahan kukuh kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti pusat data dan tenaga solar.

 

“MNH berada pada kedudukan strategik sebagai proksi kepada peningkatan permintaan tenaga di Malaysia dan berpotensi mendapat manfaat langsung daripada kitaran perbelanjaan modal Tenaga Nasional Bhd (TNB),” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Setakat November 2025, MNH mempunyai buku pesanan berjumlah RM864 juta, dengan 79% daripadanya disumbangkan oleh kerja-kerja berkaitan pusat data dan TNB.

 

Sementara itu, buku tender kumpulan berada pada paras RM1.1 bilion, dan pengurusan menjangkakan jumlah tersebut meningkat hampir RM2 bilion dalam beberapa suku akan datang.

 

HLIB turut menjangkakan pendapatan kumpulan akan kembali meningkat apabila gelombang baharu kontrak daripada Pelanggan A dianugerahkan.

 

Dari segi perkembangan projek, lanjutan Plot 4 kini hampir siap manakala projek Kempas menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

 

Pengurusan memaklumkan bahawa Pelanggan A sedang membuat persiapan untuk melancarkan lanjutan seterusnya bagi Plot 4, selain pakej Stesen Pendaratan Kabel (CLS) untuk Plot 5 dan Kempas Fasa 2.

 

Dalam segmen tenaga solar, anugerah kontrak di bawah program tenaga solar berskala besar kelima (LSS5) dijangka mengalir secara berperingkat pada separuh pertama tahun kewangan 2025, manakala LSS5+ pula dijangka bermula dari 4Q26 dan seterusnya.

 

Selain Johor, rancangan Pelanggan A untuk membangunkan pusat data baharu di Lembah Klang turut dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang.

 

HLIB menganggarkan projek tersebut memerlukan dua unit CLS 275 kilovolt dengan potensi nilai kontrak melebihi RM200 juta.

 

Firma itu menambah bahawa selain Pelanggan A, pelanggan pusat data lain seperti Pelanggan D dan E masih meneruskan pelan pengembangan masing-masing, walaupun pada kadar yang lebih sederhana. - DagangNews.com