Pendapatan IJM diunjur tidak berubah setelah ambil alih 50% ekuiti firma UK - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan IJM diunjur tidak berubah setelah ambil alih 50% ekuiti firma UK - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 April — Pendapatan IJM Corp Berhad diunjur tidak ada perubahan walaupun berjaya melengkapkan pengambilalihan 50 peratus pegangan ekuti dalam sebuah firma United Kingdom pada harga £50 juta (RM283 juta), kata RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia tidak membuat sebarang perubahan untuk anggaran pendapatan kumpulan itu pada FY25 selepas penguasaan separuh kepentingan dalam JRL Group Holdings yang aktif dengan pelbagai projek pembinaan terkenal di Britain.


Ia turut melihat risiko dari segi pengurusan bersama kerana JRL masih mempunyai lagi buku pesanan tertunggak berjumlah £1.5 bilion (kira-kira RM8.72 bilion) yang dijangka menambah kepada baki buku pesanan semasa IJM pada ketika ini sebanyak RM6 bilion.


"Kami telah menyemak semula pendapatan kumpulan ini dari tempoh FY26 hingga FY27 masing-masing mungkin hanya naik sebanyak enam peratus dan lima peratus setelah dinilai sumbangan hasil daripada perniagaan JRL," katanya dalam satu nota kajian.


JRL yang diasaskan pada 1996 menyediakan rumusan bangunan bersepadu sepenuhnya di United Kingdom melalui pelbagai jenama khusus dalam kontrak pasang siap, elektrikal dan mekanikal, perkhidmatan fasad, aktiviti penyewaan serta penjualan kren menara.


Firma penyelidikan tersebut juga melihat jangkaan risiko pelaksanaan boleh diurus kerana JRL merupakan kontraktor utama projek sulung IJM Land di Britain iaitu Royal Mint Gardens Fasa 1 selain usaha sama IJM dengan Innova untuk rangkaian hartanah kereta api.


Projek berkenaan kata RHB Research, amat berpotensi kerana mengandungi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak lebih £3 bilion (kira-kira RM17.45 bilion) dengan menyasarkan beberapa tapak yang bersebelahan dengan landasan tren di empat wilayah dalam London.
 

"Bagaimanapun, kami melihat ada ketidaktentuan susulan kesan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) untuk terus menjejaskan sentimen pasaran yang luas dan memerlukan penilaian sasaran secara lebih rendah untuk segmen pembinaan dilaksanakan IJM," katanya.


Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan "beli" ke atas syarikat tersebut dengan menetapkan harga sasaran (TP) sesaham baharu yang rendah sedikit iaitu RM3.14 berbanding RM3.45 sesaham. - DagangNews.com