Pemotongan OPR berkemungkinan jejaskan hasil Bank Islam, Alliance - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemotongan OPR berkemungkinan jejaskan hasil Bank Islam, Alliance - CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mei — Jangkaan berlaku pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2025 sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan boleh menjejaskan hasil Bank Islam dan Alliance Bank, kata CGS International.


Firma penyelidikan tersebut sebaliknya meramalkan, langkah pengurangan kadar berkenaan yang akan diumumkan oleh bank pusat itu akan memberi manfaat yang besar pula kepada Affin Bank Berhad dan AMMB Holdings Berhad pada tahun kewangan 2026.


Katanya, jumlah pendapatan bank bagaimanapun hanya akan melihat kesan yang boleh diabaikan, dengan jangkaan penurunan sebanyak 0.2 peratus daripada tindakan pengurangan OPR tersebut.

 

 


BNM dijangka menerbitkan kenyataan dasar monetari yang ketiganya untuk tahun ini pada 8 Mei 2025, dengan konsensus menjangka bank pusat itu masih mengekalkan OPR iaitu tiga peratus.


"Pemotongan akan mengurangkan hasil Bank Islam sebanyak 4.1 peratus manakala 2.3 peratus untuk Alliance Bank, disebakan pinjaman kadar terapung, CASA (akaun semasa/akaun simpanan) dan pinjaman tinggi di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian.


CGS International berkata, kebanyakan perkhidmatan Bank Islam dan Alliance Bank hanya beroperasi di seluruh Malaysia, dengan sebarang perubahan dalam OPR secara langsung turut memberi kesan besar kepada pinjaman serta deposit mereka.


Kedua-duanya kata firma tersebut, juga mempunyai peratusan tinggi pinjaman kadar terapung dengan Bank Islam sebanyak 89.3 peratus manakala Alliance Bank 82.9 peratus, selain kebanyakan pinjaman akan diselaraskan dengan perubahan OPR.


Mereka katanya, turut didapati memiliki nisbah CASA yang kukuh (Aliance Bank: 38 peratus, Bank Islam: 35.6 peratus), iaitu lebih baik daripada purata sektor berkenaan hanya sebanyak 33.4 peratus.


Bagaimanapun kata CGS International, dua bank tersebut memperoleh kurang daripada pendapatan bukan faedah (Aliance Bank: 12.6 peratus, Bank Islam: 16.5 peratus) berbanding purata sektor berkenaan iaitu sebanyak 25.5 peratus.


Berdasarkan analisis firma itu, situasi sebaliknya ke atas Affin Bank dan AMMB yang boleh mendapat manfaat paling banyak daripada pemotongan OPR, dengan keuntungan sebanyak 3.3 peraus dijangka untuk Affin Bank dan 1.2 peratus untuk AMMB pada FY26.


Affin Bank dan AMMB katanya, berada dalam kedudukan yang terbaik apabila OPR dipotong kerana mereka mempunyai lebih banyak pembiayaan bukan CASA seperti deposit tetap berbanding pinjaman kadar terapung.


"Ini bermakna kos pendanaan mereka akan mampu turun lebih daripada pendapatan pinjaman, yang sebenarnya adalah baik untuk mereka mencatatkan keuntungan," kata CGS International.


Firma itu memberikan saranan "overweight" ke atas bank-bank di Malaysia, melihat kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2025, peningkatan inflasi, persaingan tinggi deposit dan kesan tarif baharu Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com