Pemilik rumah terpaksa tanggung denda RM825,000 oleh TNB kerana perlombongan kripto haram penyewa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemilik rumah terpaksa tanggung denda RM825,000 oleh TNB kerana perlombongan kripto haram penyewa

KUALA LUMPUR 20 Feb - Seorang pemilik rumah berdepan masalah kewangan yang rumit selepas terpaksa memikul bil elektrik yang besar melebihi RM800,000 iaitu denda oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana aktiviti melobong kripto haram penyewa.

 

Menurut laporan oleh @astro_hotspot, pemilik rumah berkenaan, yang hanya dikenali sebagai Jason, menaggung denda besar akibat kecurian elektrik penyewa daripada perlombongan mata wang kripto secara haram.

 

TNB pada mulanya mengeluarkan denda RM1.7 juta tetapi dikurangkan kepada RM825,000 selepas empat tahun saman.

 

"Mengapa, sebagai tuan tanah, saya harus bertanggungjawab atas tindakan menyalahi undang-undang penyewa saya?" beliau dipetik sebagai berkata.

 

Pengalaman pahitnya bermula selepas menyewakan hartanya kepada penyewa pada Julai 2020. Penyewa mendakwa dia "bekerja dengan komputer," seperti yang dipetik.

 

Malangnya, Jason telah ditipu oleh penyewa, yang didakwa menyambungkan kabel kuasa besar ke bangunan itu tiga bulan kemudian, menyebabkan seluruh bangunan mengalami gangguan bekalan elektrik.

 

Selepas TNB mengeluarkan Jason denda RM1.7 juta, dia segera menghubungi penyewa, hanya untuk mendapati penyewa telah pergi tanpa kesan — meninggalkan identiti palsu selepas Jason cuba menjejakinya sendiri.

 

Kecewa dengan tindakan penyewa yang tidak bertanggungjawab, pemilik rumah membuat laporan rasmi kepada polis dan menyerahkan dokumen yang diperlukan mengikut permintaan TNB.

 

Selain itu, beliau mendapatkan peguam dan dinasihatkan menunggu surat peguam daripada TNB sebelum membayar denda.

 

TNB akhirnya memproses kes Jason pada 2022 dan mengurangkan denda awal sebanyak separuh kepada RM825,000.

 

Walaupun denda itu kemudiannya dikurangkan separuh, dia terus melawan kesnya, kerana dia terpaksa berurusan dengan jumlah wang yang sangat besar. Selepas dua tahun litigasi dari 2022 hingga 2024, dia kalah dalam kes itu.

 

Selepas empat tahun tindakan undang-undang, wang simpanannya susut, dan selain daripada denda RM825,000 (yang terus mengakru kadar faedah 5%), dia kini mempunyai tambahan RM36,000 dalam yuran peguam untuk dibayar.

 

Di sebalik kegawatan kewangan semasa, beliau tidak bercadang untuk berundur dan telah memutuskan untuk merayu kes itu.

 

Pemilik rumah itu sedang mempertimbangkan untuk mengupah peguam lain untuk melihat sama ada dia mempunyai peluang mengubah keputusan itu. - DagangNews.com