Peluasan SST dijangka jejas sektor pengguna tempatan, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluasan SST dijangka jejas sektor pengguna tempatan, kata RHB Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Jun - Peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan, dijangka memberi kesan kepada sektor pengguna tempatan terutamanya ketika kos sara hidup semakin tinggi.

 

RHB Research berkata, cukai jualan antara 5% hingga 10% terhadap barangan bukan keperluan terpilih dan cukai 8% ke atas beberapa perkhidmatan tambahan, boleh memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada perniagaan serta pengguna.

 

"Langkah peluasan SST kurang baik untuk sektor pengguna kerana boleh mengurangkan kuasa beli rakyat dan melemahkan lagi sentimen pengguna yang sedia suram," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan, antara yang paling terkesan adalah peruncit yang beroperasi di pusat membeli-belah seperti Padini Holdings Bhd, Focus Point Holdings Bhd, Aeon Co (M) Bhd dan MyNews Holdings Bhd.

 

Jelasnya, perniagaan berkenaan berisiko menanggung kos sewa lebih tinggi jika pemilik premis memindahkan cukai SST kepada penyewa.

 

"Jika cukai perkhidmatan 8% dikenakan sepenuhnya ke atas sewa dan dipindahkan terus kepada penyewa, keuntungan syarikat-syarikat tersebut boleh turun antara 5% hingga 22%," jelas RHB Research.

 

Sebaliknya, syarikat seperti 99 Speed Mart dan MR DIY yang beroperasi di luar pusat membeli-belah, dijangka kurang terjejas kerana kebanyakan premis mereka tidak melepasi ambang cukai SST.

 

RHB Research menambah, bagi syarikat pengeluar makanan dan minuman (F&B), kesan cukai SST yang baharu dijangka kecil kerana kebanyakan barangan yang dikenakan cukai seperti makanan import premium dan barangan mewah bukan bahan utama atau produk utama mereka.

 

Dari segi prestasi, firma penyelidikan itu menjangka sektor pengguna mungkin mencatat keputusan yang lebih perlahan pada suku kedua 2025 berbanding suku pertama yang kukuh, apabila 11 daripada 14 syarikat yang dikaji mencapai jangkaan.

 

Antara faktor yang mempengaruhi adalah tekanan harga akibat SST, pelaksanaan semula subsidi petrol secara bersasar, serta jualan musim perayaan yang dibuat lebih awal.

 

Bagi mengurangkan kesan tersebut, peruncit dijangka menggiatkan promosi untuk menarik pelanggan dan mengekalkan jumlah jualan.

 

Bagaimanapun, RHB Research percaya, perbelanjaan pengguna masih akan disokong oleh pekerjaan yang stabil, kenaikan gaji dalam sektor awam dan swasta, serta bantuan kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah. - DagangNews.com