KUALA LUMPUR 18 Jun - Langkah kerajaan meluaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah usaha yang seimbang untuk menambah hasil negara tanpa memberi beban inflasi kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, kerajaan perlu menggunakan pertimbangan yang teliti dalam melaksanakan dasar fiskal bagi menyeimbangkan pelbagai keperluan yang kadangkala bercanggah.
"Beberapa tahun lalu, defisit fiskal negara agak tinggi. Sasaran kita adalah 3 peratus, tetapi masih belum tercapai. Jadi, kita perlu meluaskan sumber hasil," katanya seperti laporan New Straits Times.
Beliau berkata demikian dalam sesi bertajuk Social Safety Nets: Securing The Future sempena Simposium Sasana 2025, di sini.
Menurut Johan, permintaan rakyat terhadap bantuan kerajaan juga semakin meningkat seperti tambahan RM3 bilion untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM400 juta bagi baik pulih sekolah daif dan lebih RM1 bilion untuk lantikan doktor kontrak.
Jelasnya, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kerajaan perlu menyediakan penampan fiskal bagi menghadapi sebarang krisis tidak dijangka.
"Memang sukar untuk mengutip RM10 bilion tanpa memberi kesan langsung kepada sesiapa.
"Sebab itu kita teliti barang dan perkhidmatan yang terlibat. Kami rujuk kepada bakul Indeks Harga Pengguna (CPI) supaya kesannya kepada rakyat adalah minimum," tambahnya.
Johan berkata, kesan kenaikan SST terhadap inflasi dianggarkan sekitar 0.25 peratus, namun kajian dalaman kerajaan menunjukkan kadar sebenar lebih rendah dan masih boleh diterima.
Mengulas cadangan supaya kerajaan memperkenalkan cukai kekayaan, beliau menjelaskan, idea itu memang menarik untuk memperluas sumber pendapatan negara dan mengurangkan jurang kekayaan.
Namun, beliau berkata, pelaksanaannya sangat mencabar.
"Cukai pendapatan dan cukai penggunaan lebih mudah dikuatkuasakan kerana transaksi seperti gaji dan perbelanjaan boleh dijejak.
"Pelaksanaan cukai kekayaan agak susah sebab data harta individu sukar diperoleh," ujarnya.
Beliau menambah, walaupun kerajaan telah melaksanakan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kerajaan masih banyak bergantung kepada maklumat pendapatan dan transaksi kerana data tentang kekayaan peribadi amat terhad.
"Dari sudut pengurusan cukai, memang rumit untuk melaksanakan cukai kekayaan, walaupun ideanya nampak bagus," katanya. - DagangNews.com








