Pelaksanaan SST 5% diramal beri tekanan margin kepada pengeluar sarung tangan, kata Apex Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan SST 5% diramal beri tekanan margin kepada pengeluar sarung tangan, kata Apex Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jun - Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 5% ke atas bahan mentah getah seperti getah asli dan getah nitril diramal memberi tekanan margin ke atas pengeluar sarung tangan.

 

Apex Securities berkata, ia juga akan menjejaskan daya saing mereka di peringkat antarabangsa.

 

“Keadaan ini berlaku ketika industri sedang bergelut dengan landskap operasi yang mencabar, termasuk tekanan berterusan daripada tarif Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu nota kajian.

 

Bahan getah asli dan bahan getah nitril butadiena yang diimport tertakluk kepada cukai jualan di bawah perintah PU(A) 170/2025, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2025.

 

Sehubungan itu, Apex Securities telah menurunkan unjuran pendapatan dan harga sasaran (TP) bagi pengeluar sarung tangan tempatan yang mapan seperti Hartalega Holdings Bhd dan Top Glove Corporation Bhd.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MARGMA gesa kerajaan tangguh pelaksanaan SST 5% bagi bahan mentah getah asli
https://www.dagangnews.com/article/terkini/margma-gesa-kerajaan-tangguh-pelaksanaan-sst-5-bagi-bahan-mentah-getah-asli-53190

 

Firma penyelidikan itu berkata,  pelaksanaan SST 5% akan meningkatkan jumlah kos Hartalega sebanyak 15%, sekali gus menurunkan unjuran pendapatan syarikat sebanyak 1.5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26), turun 4% bagi FY27 dan 3.7% lebih rendah bagi FY28, bersama penurunan harga sasaran kepada RM1.76.

 

Selain itu, Top Glove dijangka berdepan kerugian bersih teras sebanyak RM6.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 (FY25), RM52.1 juta bagi FY2026, dan RM51.9 juta bagi FY2027, memandangkan kos pengeluaran kumpulan itu boleh meningkat sehingga 2%. Apex Securities turut menurunkan TP syarikat itu kepada 78 sen.

 

“Berdasarkan ketidaktentuan perdagangan dan dasar yang sedang berlaku dan memberi kesan kepada pengeluar sarung tangan Malaysia, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor ini,” kata Apex Securities.

 

Firma penyelidikan itu turut menyatakan, cabaran lain termasuk permintaan yang lebih rendah dari pasaran AS serta lambakan bahan mentah di Vietnam dan Indonesia oleh pengeluar dari China.

 

Cukai jualan 5% ke atas bahan mentah getah telah diberikan penangguhan sehingga 31 Disember 2025 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia memandangkan pengeluar sarung tangan sedang menjalankan rundingan dengan kerajaan, menurut Apex Securities. - DagangNews.com