Pelaburan Microsoft di Malaysia dijangka jana kesan ekonomi AS$10.9 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan Microsoft di Malaysia dijangka jana kesan ekonomi AS$10.9 bilion

KUALA LUMPUR 20 Mac (Bernama) - Pelaburan Microsoft di Malaysia dijangka menjana kesan ekonomi bernilai AS$10.9 bilion (RM48.32 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang.

 

Selain itu ia juga dijangka mewujudkan 37,575 peluang pekerjaan serta mempercepatkan penggunaan teknologi pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini.

 

Menurut laporan 'Microsoft Cloud Dividend Snapshot' oleh International Data Corporation (IDC) bagi Malaysia, lonjakan ekonomi itu didorong oleh kehadiran wilayah awan Microsoft, ekosistem rakan niaga serta pelanggan yang menggunakan teknologi awan.

 

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si berkata daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan, sebanyak 5,700 membabitkan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT), sekali gus mengukuhkan lagi daya saing tenaga kerja digital negara.

 

"Dengan kadar inovasi yang pesat di Malaysia, kewujudan wilayah awan Malaysia West bukan sekadar infrastruktur teknologi, malah menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi AI negara," katanya pada taklimat media hari ini.

 

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan infrastruktur, Microsoft bakal melancarkan tiga pusat data di Lembah Klang menjelang suku kedua 2025.

 

"Wilayah awan Malaysia West akan menawarkan perkhidmatan berasaskan AI, penyelesaian pengkomputeran awan serta keselamatan siber yang dipertingkatkan, selain mematuhi peraturan tempatan berkaitan pemastautinan data.

 

"Microsoft turut melabur dalam pembangunan bakat melalui inisiatif 'AI for Malaysia's Future' (AIForMYFuture) yang menyasarkan untuk melatih 800,000 rakyat Malaysia dalam kemahiran AI menjelang akhir 2025," katanya.

 

Beliau menambah, usaha itu adalah kesinambungan kejayaan inisiatif Bersama Malaysia yang telah memberikan latihan digital kepada lebih 1.53 juta rakyat Malaysia.

 

"Bagi merealisasikan sepenuhnya manfaat pelaburan digital, kita perlu memastikan rakyat Malaysia memiliki kemahiran yang tepat.

 

"Kami bekerjasama dengan agensi kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan komuniti kurang berkemampuan, dapat mengakses latihan ini," katanya.

 

Pada Mei tahun lalu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, mengumumkan pelaburan bernilai AS$2.2 bilion bagi mempercepatkan cita-cita Malaysia dalam sektor pengkomputeran awan dan AI.

 

Selain itu, syarikat berkenaan turut memberi keutamaan kepada kelestarian dalam operasi pusat datanya, sejajar dengan matlamat untuk menjadi syarikat karbon-negatif menjelang 2030.

 

Si menegaskan, Microsoft komited menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia menerusi pembangunan infrastruktur, latihan AI serta inisiatif kelestarian.

 

"Matlamat kami adalah memastikan Malaysia bersedia untuk era AI dengan teknologi, kemahiran dan sokongan yang diperlukan bagi terus maju dalam landskap digital global," katanya. — BERNAMA