KUALA LUMPUR 9 Mac – Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia minggu lalu dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM411.4 juta, sekali gus menamatkan dua minggu berturut-turut aktiviti jualan bersih, menurut MBSB Research.
Berdasarkan aliran dana mingguan, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut.
"Aliran masuk terbesar direkodkan pada Isnin berjumlah RM271.1 juta, diikuti Jumaat (RM192.3 juta), Khamis (RM158.6 juta) dan Selasa (RM13.1 juta).
"Bagaimanapun, aliran keluar bersih dicatatkan pada Rabu dengan jumlah -RM223.7 juta," katanya dalam laporan mingguan pergerakan dana di Bursa Malaysia hari ini.
Menurut MBSB, dari segi sektor, tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing ialah sektor Pengangkutan dan Logistik sebanyak RM207.3 juta, diikuti sektor Penjagaan Kesihatan (RM183.0 juta) serta Produk dan Perkhidmatan Perindustrian (RM180.0 juta).
Sebaliknya, sektor Telekomunikasi dan Media merekodkan aliran keluar bersih terbesar dalam kalangan pelabur asing iaitu -RM88.5 juta, diikuti sektor Perladangan (-RM87.8 juta) dan sektor Hartanah (-RM62.0 juta).
Dalam pada itu, institusi tempatan terus mencatat aliran keluar bersih sebanyak -RM408.3 juta, sekali gus melanjutkan trend jualan bersih kepada lima minggu berturut-turut.
Pelabur runcit tempatan pula kembali menjadi penjual bersih minggu lalu dengan aliran keluar sebanyak -RM3.1 juta selepas mencatat pembelian bersih selama dua minggu sebelum ini.
Dari sudut aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan merentasi kebanyakan kumpulan pelabur.
ADTV pelabur runcit tempatan meningkat 18.9%, diikuti institusi tempatan sebanyak 18.3%, manakala pelabur asing merekodkan penurunan sebanyak 14.6%. - DagangNews.com








