KUALA LUMPUR 15 Sept - Pelabuhan Kuantan akan berfungsi sebagai pangkalan penting bagi perdagangan dengan China serta kawasan pesisir Thailand, Laos dan Vietnam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pengembangan Pelabuhan Kuantan amat tepat pada masanya memandangkan kebanyakan pembangunan Malaysia tertumpu di pantai barat.
Projek ini, yang dibangunkan di bawah program bandar berkembar dengan China, dijangka mengangkat pantai timur sebagai hab pertumbuhan baharu.
"Ya, ia perlu diperluaskan. Saya fikir ia bijak kerana pelabuhan tradisional sudah pun mencapai tahap kesibukan maksimum," katanya kepada penyampai CGTN, Zheng Junfeng dalam satu temu bual baru-baru ini.

Anwar menyatakan, Pelabuhan Klang kini berada dalam kedudukan 10 pelabuhan terbaik dunia, manakala dua lagi pelabuhan Malaysia juga semakin meningkat dalam kedudukan global.
"Bagi Malaysia, sebuah negara yang agak kecil, ini adalah pencapaian yang luar biasa," katanya.
Beliau menambah, potensi Pelabuhan Kuantan adalah besar kerana ia akan mengubah kawasan yang sebelum ini terpinggir menjadi pusat pertumbuhan penting.
Pada 10 Jun 2024, Pelabuhan Kuantan menandatangani perjanjian dengan Malaysian Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk bekerjasama dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), membolehkan pengangkutan kargo beralih daripada jalan raya ke landasan kereta api melalui pelabuhan itu.
Laluan ECRL yang akan bersambung terus ke Pelabuhan Kuantan dijangka meningkatkan pergerakan barangan serta memperkukuh kesalinghubungan dan kecekapan antara pantai timur dan barat Malaysia. - BERNAMA








