Pekerja asing dari Bangladesh kini ada kira-kira 900,000 orang di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekerja asing dari Bangladesh kini ada kira-kira 900,000 orang di Malaysia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Feb — Warga Bangladesh membentuk peratusan terbesar pekerja asing di Malaysia iaitu kira-kira 898,970 orang, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

 

Beliau berkata kehadiran pekerja asing di negara ini adalah terkawal kerana ia masih berada di bawah paras siling yang ditetapkan oleh Kerajaan, yang mengehadkan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk yang bekerja di negara ini.

 

“Sejak 18 Mac 2023, Kerajaan telah memutuskan untuk membekukan kuota pengambilan pekerja asing baharu sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

 

 

“Sehingga 31 Disember 2024, jumlah penduduk bekerja ialah 16,779,500 orang.

 

"Daripada jumlah itu, 2,368,422 individu atau 14 peratus adalah pekerja asing,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

 

 

parafrasa

 

 

Sim menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Salak Jamaludin Yahya, yang meminta kementerian menyatakan peratusan dan jumlah bilangan pekerja asing di Malaysia, serta kewarganegaraan dengan peratusan pekerja asing tertinggi di negara ini.

 

Sim menambah bahawa menyusuli Bangladesh dari segi pekerja asing teramai di Malaysia ialah warga Indonesia sebanyak 582,108, diikuti oleh Nepal sebanyak 370,127 orang. - DagangNews.com