Pekat Group catat untung bersih lebih dua kali ganda disokong lonjakan hasil RM126.99 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pekat Group catat untung bersih lebih dua kali ganda disokong lonjakan hasil RM126.99 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pekat Group Bhd kekal optimis terhadap prospek tahun hadapan selepas mencatat prestasi kukuh didorong pertumbuhan di semua bahagian perniagaannya.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), Pekat merekodkan untung bersih RM11.02 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM4.64 juta pada suku sama tahun lalu, disokong lonjakan hasil kepada RM126.99 juta daripada RM56.57 juta sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham meningkat kepada 1.71 sen berbanding 0.72 sen setahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu solar photovoltaic (PV) mencatatkan hasil RM62.6 juta, meningkat RM29.45 juta didorong sumbangan lebih tinggi daripada pelanggan kediaman solar serta projek solar berskala besar di bawah Corporate Green Power Programme (CGPP).

 

Segmen perlindungan pembumian dan kilat (ELP) dan perdagangan masing-masing merekodkan pertumbuhan hasil lebih 20% kepada RM14.87 juta dan RM14.69 juta, disokong pelaksanaan projek lebih baik serta peningkatan pesanan jualan.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), Pekat mencatatkan untung bersih RM23.08 juta berbanding RM8.42 juta dalam 1HFY24, manakala hasil melonjak kepada RM277.3 juta daripada RM114.2 juta sebelumnya.

 

Syarikat turut mengumumkan dividen interim 1 sen sesaham dengan tarikh ex pada 9 September 2025 dan tarikh pembayaran pada 25 September 2025.

 


Dasar Peralihan Tenaga Negara


Ketua Pegawai Eksekutif Pekat, Tai Yee Chee, berkata keputusan suku ini membuktikan manfaat daripada portfolio perniagaan yang pelbagai serta penglibatan dalam projek solar berskala besar di bawah CGPP.

 

“Seiring dengan kemajuan Malaysia dalam peralihan tenaga, Pekat berada pada kedudukan strategik untuk menyumbang kepada agenda tenaga boleh diperbaharui negara serta menjana nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan," katanya.

 

Melihat ke hadapan, Yee Chee menegaskan Pekat bakal mendapat manfaat daripada komitmen Malaysia mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050. 

 

Dasar utama seperti National Energy Transition Roadmap (NETR), Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan CGPP dijangka menyokong pertumbuhan masa depan sektor tenaga boleh diperbaharui.

 

Pekat kini terlibat dalam dua loji tenaga solar 29.99 MWac di bawah CGPP. Salah satu projek adalah pelaburan dalaman yang dijangka menjana pendapatan berulang selepas siap menjelang akhir 2025.

 

Satu lagi ialah kontrak EPCC yang dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Yee Chee menambah, segmen ELP juga berpotensi meraih manfaat daripada aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam industri pusat data Malaysia, berbekalkan rekod pencapaian syarikat dalam membekalkan penyelesaian ELP kepada pusat data.

 

“Kami juga sedang berusaha mengintegrasikan bahagian baharu peralatan pengagihan kuasa yang baru diperoleh, yang dijangka memberikan sinergi operasi, meluaskan capaian pasaran dan membuka potensi pertumbuhan jangka panjang," jelasnya.  - DagangNews.com