KUALA LUMPUR 16 Mei — Pekat Group Berhad menerusi anak syarikat milik 60 peratusnya, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd, berjaya memperoleh kontrak sebanyak RM135.24 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kumpulan itu berkata, kontrak tersebut meliputi kerja pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan penebat suis 33 kilovolt (kV) dan 11kV dan peralatan berkaitan untuk rangkaian pengagihan elektrik.
Kontrak itu kata Pekat, berkuat kuasa mulai 9 Mei 2025 dan akan berlangsung selama tempoh dua tahun dengan merupakan tender yang kedua berjaya diperoleh EPE Switchgear daripada TNB pada tahun ini.
"Sepanjang tempoh kontrak, TNB boleh meminta sehingga 30 peratus nilai kerja tambahan dengan EPE Switchgear dikehendaki menyediakan jaminan prestasi RM6.76 juta," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Selain itu tambah Pekat, ia harus menjamin memiliki semua insurans yang diperlukan sebelum boleh memulakan kerja-kerja ditetapkan oleh firma utiliti tersebut.
Pada 26 Februari 2025, syarikat itu dianugerahkan kontrak sebanyak RM97.26 juta untuk membekal dan menghantar pemutus litar palang tunggal untuk rangkaian pengedaran TNB.
Permodalan pasaran Pekat setakat tengah hari 16 Mei 2025 adalah RM851.4 juta dan sehingga kini, kaunter syarikat berkenaan telah meningkat lebih 33 peratus. - DagangNews.com








