KOTA KINABALU 1 Ogos - Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi mencabar tindakan tatatertib yang didakwa berlarutan tanpa keputusan serta melanggar prosedur yang sah.
Dr. Alfonso Min, Ketua Penolong Setiausaha Gred 48 di Pejabat SUHAKAM Sabah, mengemukakan permohonan itu terhadap SUHAKAM dan Jawatankuasa Disiplinnya melalui peguam Dato’ Sri K. Rakhbir Singh.
Prosiding tatatertib berkenaan berpunca daripada surat tunjuk sebab bertarikh 28 Januari, di mana Dr. Alfonso telah mengemukakan jawapan pada 10 Februari seperti yang ditetapkan. Namun, tiada sebarang tindakan diambil oleh SUHAKAM sehingga kini.

Teguran Tidak Diendahkan
Pada 17 Mei, Dr. Alfonso menghantar surat dan e-mel rasmi menggesa SUHAKAM memberikan maklum balas terhadap surat tunjuk sebab tersebut. Namun, SUHAKAM terus gagal memuktamadkan atau mengambil sebarang langkah lanjut terhadap prosiding berkenaan, menurut Dr. Alfonso dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu telah menimbulkan kesusahan yang besar, menjejaskan reputasi serta mencetuskan ketidakpastian berpanjangan terhadap status pekerjaannya.
Dakwa Peraturan Tidak Sah dan Tidak Berperlembagaan
Dalam permohonan yang difailkan, Dr. Alfonso turut mencabar kesahihan rangka kerja tatatertib yang digunakan SUHAKAM, yang didakwanya bertentangan dengan Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 dan oleh itu, tidak sah di sisi undang-undang serta tidak berperlembagaan.
Beliau juga mendakwa telah menjadi mangsa tindakan berniat jahat dalam proses penilaian prestasi tahunan 2023 yang membawa kepada penurunan pangkat, penahanan gaji sejak September lalu, serta pelanggaran kontrak yang didakwanya tidak sah.
Lima Perintah Diperoleh daripada Mahkamah
Antara relief yang dimohon oleh Dr. Alfonso termasuk:
Perisytiharan bahawa peraturan tatatertib SUHAKAM adalah tidak sah dan terbatal;
Perintah certiorari untuk membatalkan semua tindakan tatatertib yang telah diambil;
Perintah mandamus supaya beliau dikembalikan ke jawatan asal beserta kekananan dan faedah penuh;
Pampasan bagi kehilangan gaji, elaun serta caruman KWSP dan PERKESO;
Relief-relief lain yang bersesuaian dan adil.
Perbicaraan 8 September
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menetapkan tarikh perbicaraan pada Isnin, 8 September.
Kes ini dijangka memberi impak penting terhadap tadbir urus institusi awam, khususnya dalam memastikan badan berkanun seperti SUHAKAM bertindak mengikut prinsip keadilan proses dan lunas undang-undang. - DagangNews.com








